Pengikut
Rabu, 1 Disember 2010
Mahasiswa Ikrar Iring MB Selangor Hantar Memo
Kumpulan mahasiswa di negara ini berikrar mengiringi Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong bagi membantah kenaikan tarif air oleh Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) Ahad ini.
Kumpulan yang membabitkan Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Industri Selangor (Unisel) dan Kumpulan Aktivis Mahasiswa Indipenden (KAMI) akan disertai sekurang-kurangnya 300 mahasiswa dari seluruh Lembah Klang.
Presiden KAMI, Hilman Idham berkata, ini kerana banyak mahasiswa yang tinggal di rumah sewa turut terjejas secara langsung sekiranya tarif air dinaikkan sebanyak 37 peratus.
"Selangor merupakan negeri yang memuatkan institusi pengajian tinggi yang menjadi rumah kedua kepada sebilangan besar mahasiswa dari seluruh pelosok negara.
"Sebahagian besar mahasiswa tidak mendapat kemudahan kolej kediaman dan sebilangan besar darinya tinggal menyewa di kawasan perumahan berhampiran universiti atau kolej kediaman," katanya.
Ahad ini, satu perhimpunan dianjurkan di Masjid Negara di Kuala Lumpur bagi mengiringi Khalid ke Istana Negara untuk menyerahkan memorandum itu.
Menteri besar dilaporkan akan turut menyerahkan tandatangan rakyat Selangor yang menolak kenaikan tarif air pada 31 Mac tahun depan.
Dalam sidang media di ibu negara hari ini, Hilman - mahasiswa tahun akhir Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) - berkata kesan kenaikan tarif air di negeri itu bakal membebankan separuh daripada puluhan ribu mahasiswa di seluruh Selangor.
Menurut pelajar tahun akhir UKM itu, di universitinya sahaja, kira-kira 40 peratus mahasiswa tinggal di rumah sewa manakala di Universiti Teknologi Mara (UiTM) pula didakwa lebih 60 peratus terlibat.
Ditanya kenapa masih banyak kumpulan mahasiswa yang dilihat 'senyap' bNONEerhubung perkembangan itu, Hilman mengakui masih ada di kalangan mereka yang masih "gagal menyuarakan prinsip" masing-masing.
Sementara itu, menjawab soalan pemberita, exco perhubungan MPM Unisel Mohd Fikri Hamdan pula menafikan bahawa mahasiswa di universiti milik kerajaan negeri itu 'digunakan' bagi kepentingan pihak tertentu dalam bantahan itu.
"Ini inisiatif kami sendiri. Lagi pun, mahasiswa di Unisel bukan semuanya rakyat Selangor, (sebaliknya) daripada pelbagai negeri."
Jumaat ini - dua hari sebelum perhimpunan itu - KAMI dan MPM Unisel merancang menyebarkan risalah di masjid sekitar universiti di Lembah Klang bagi mengajak mahasiswa lain turut serta berhimpun bersama Khalid.
-Malaysiakini-
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan