Pengikut

Selasa, 28 Disember 2010

Apa erti ketuanan Melayu jika bahasanya ke kubur?

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukan-Nya dengan sesuatu apa pun dan berbuat baiklah kepada kedua-dua ibu dan bapamu." (Surah an-Nisak, ayat 36)


SEORANG wartawan muda bertanyakan saya bagaimana mahu menulis berita mengenai ketuanan Melayu. Saya katakan, tidak perlulah menulis subjek itu secara am kerana ia amat luas tetapi fokuskan kepada bidang tertentu, tentunya akan terdedahlah temberang dan tembelang pihak terbabit – siapa yang makan cili dialah terasa pedasnya.

Pada artikel kali ini saya fokuskan kepada bahasa Melayu yang diangkat sebagai bahasa kebangsaan dan rasmi tetapi malang sekali selepas negara merdeka lebih separuh abad, pihak berkuasa baru-baru ini terpaksa melancarkan Kempen Bulan Bahasa Kebangsaan. Bayangkan sebuah negara berdaulat lebih 50 tahun lalu, terpaksa melancarkan kempen bahasa di kalangan rakyat sedangkan perkara itu sewajarnya sudah lama beres.

Kempen adalah bertujuan mempromosi sesuatu yang baru, tetapi apabila bahasa Melayu terpaksa dikempenkan, ertinya bahasa ini tidak ‘dituankan’ atau didaulatkan di negara ini. Demikianlah bahasa Melayu diperlakukan sedemikian rupa sehingga merempat di negara sendiri. Oleh itu, apa erti dilaung-laungkan ketuanan Melayu jika bahasanya sendiri beransur-ansur dikuburkan?

Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) di di institusi pengajian mulai tahun 2003 oleh Dr Mahathir Mohamad ketika beliau berkuasa dulu adalah bukti jelas tiada ada keyakinan kepada bahasa kebangsaan. Tindakan Dr Mahathir disokong oleh juak-juaknya dan ini menggambarkan betapa tidak pedulinya pemimpin Melayu terhadap salah satu aset ketuanan Melayu yang mereka laung-laungkan iaitu bahasa Melayu. Siapa pengkhianat kepada bahasa dan bangsa Melayu?

Jika bahasa Melayu tidak dimajukan sebagai bahasa ilmu, bagaimana orang Melayu mahu diperkasakan? Tidak ada satu bangsa pun di dunia ini yang menjadi maju sedangkan bahasanya mundur, tidak digunakan di persada dunia keilmuan. Jika diimbau tamadun dunia, orang Arab pada zaman keemasan Islam maju kerana bahasanya maju sehingga begitu banyak perkataannya menjadi pinjaman tamadun lain, orang Inggeris maju seiring dengan bahasanya, demikian juga pada masa kini, orang Jepun dengan bahasanya, orang Korea dan orang Jerman dengan bahasa masing-masing.

Oleh itu adalah luar biasa jika orang Melayu dapat menjadi maju dengan bahasa Inggeris. Penulis yakin orang Melayu golongan atasanlah yang dapat mengaut faedah dengan dasar ini dengan merujuk negara sedang membangun yang mengutamakan bahasa Inggeris dalam pelbagai bidang kehidupan seperti India dan Filipina, sebagai contoh.

Benar, India maju dalam sebahagian hal, tetapi siapa sebenar yang mendapat manfaat? Sebahagian kecil rakyat India berjaya hebat dalam bidang teknologi tetapi majoriti penduduk negara demokrasi terbesar dunia ini, terus kekal miskin dan merempat. Demikian halnya di Filipina, sejumlah kecil berjaya sedangkan yang lain terus menderita dihimpit kemiskinan. Apakah pemimpin Melayu mahu sebahagian kecil Melayu maju dan kaya raya sedangkan majoriti rakyat terus hidup miskin dan merana?

Selain bahasa, identiti kebangsaan negara semakin lama semakin terhakis. Hampir keseluruhan cara hidup, identiti kebangsaan menuju kepunahan. Mungkin ada yang meletakkan kesalahan kepada perkembangan global atau dunia tanpa sempadan, tetapi benarkah demikian 100 peratus?

Kalau dulu kedengaran juga suara memperjuangkan bahasa kebangsaan dan pelbagai isu berkaitan identiti kebangsaan, nampaknya suara-suara itu sudah tenggelam 'bersama tenggelamnya' penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.

Jika adanya suara-suara yang menyatakan rasa tidak senang dengan bahasa iklan dan iklan yang mengambil model 'Pan Asia', hari ini suara-suara itu 'semakin tenggelam' dan dirasakan tidak relevan lagi. Malah iklan menonjolkan budaya terlalu asing (seperti ketika zaman Roman) menguasai siaran TV.

Sekalipun hari ini bangunan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sudah 'menongkat langit' tetapi bahasa Melayu sudah menuju saat 'ke kuburan', gara-gara sikap gelojoh sesetengah pemimpin negara menidakkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.

Jika ada pemimpin negara bercakap besar mengenai bahasa Melayu yang bersifat global, yang mungkin akan diterima di peringkat antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Asean, di institusi pengajian tinggi di Rusia atau China, mereka sebenarnya tidak menyedari bahasa itu bukan bahasa Melayu Malaysia tetapi bahasa Melayu Indonesia.

Universiti-universiti utama dunia termasuk di China, Korea, Belanda dan Amerika juga menawarkan pengajian bahasa Melayu (Indonesia) manakala diplomat asing di Kuala Lumpur dan Jakarta (terutama dari Amerika dan Rusia), fasih berbahasa Melayu Indonesia.

Bahasa Melayu akan hilang kepentingannya sama seperti hilangnya penggunaan tulisan jawi dari bumi yang pernah menggunakan nama 'Tanah Melayu' ini. Kata-kata hikmah Hang Tuah 'takkan Melayu hilang di dunia' mungkin boleh diletakkan di 'Keretapi Tanah Melayu' saja. Maaf, penulis kelihatan terlalu kasar dalam membicarakan isu ini.

Sekalipun hilang pengaruhnya di 'Tanah Melayu', bahasa Melayu dipercayai akan terus berkembang pesat di bahagian dunia lain. Ini kerana bahasa Melayu tergolong dalam kumpulan 12 bahasa utama dunia yang mempunyai lebih 100 juta penutur.

Daripada 6,000 bahasa di dunia, bahasa Melayu berada di tangga kesembilan dengan lebih 150 juta penutur. Ini termasuk lebih 50 juta orang yang bahasa Melayu adalah bahasa ibunda mereka.

Sebagai bahasa utama dunia, pejuang bahasa Melayu sebenarnya mempunyai landasan kukuh untuk mempertingkatkan bahasa ini sehingga ia boleh diterima sebagai bahasa rasmi pertubuhan serantau seperti Asean sehingga ke peringkat antarabangsa seperti PBB.

Malangnya bahasa Melayu/Malaysia dipersempitkan penggunaannya di bekas bumi bernama 'Tanah Melayu'. Pemimpinnya yang bergegak gempita dengan ketuanan Melayu, tidak yakin bahasa Melayu/Malaysia dapat dijadikan bahasa ilmu atau lingua franca.

Jika dalam isu bahasa saja, pemimpin Melayu ini sudah ‘fail’ (gagal), apalah diharapkan untuk mereka berjuang dalam bidang lain? Mereka hanya melayukan orang Melayu kebanyakan sebaliknya menggemukkan tembolok sendiri, kononnya memperjuangkan ketuanan Melayu! Apa makna ketuanan Melayu sedangkan bahasa Melayu sendiri sudah hampir ke kubur?




Dari Lanh Sr.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan