Pengikut

Isnin, 27 Disember 2010

1Malaysia Hanya Untuk Kepentingan Umno

Kenyataan 1 Malaysia bukan alat politik oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak terus dibidas oleh pimpinan Pakatan Rakyat.

Terbaru Ahli Lajnah Politik PAS, Khalid Samad menegaskan 1 Malaysia itu hanya untuk kepentingan politik Umno walaupun umum mengetahui apa yang diperjuangkan oleh parti itu sendiri sehingga mengabaikan kaum lain di negara ini.

"Ia memanglah dilakukan atas dasar kepentingan politik Umno-BN apabila ia nampak ekstrem dari segi persoalan perkauman ini. Lalu timbul persoalan formula 1 Malaysia ini seolah nak hilangkan isu perkauman yang diperjuangkan selama ini maka ia dikemukakan atas kepentingan politik," katanya.

Semalam Najib mendakwa 1 Malaysia tidak mempunyai tujuan politik tetapi adalah untuk menyatukan masyarakat berbilang kaum di negara ini bagi menjawab keputusan Kerajaan Selangor mengharamkan penggunaan logo 1 Malaysia kecuali untuk tujuan perniagaan.

Turut menyanggah kenyataan Najib ialah Penasihat DAP Lim Kit Siang katanya, hakikatnya keadaan dalam negara ini makin teruk sejak pengenalan slogan 1 Malaysia, rakyat didahulukan pencapaian diutamakan kerana ia hanya bersifat retorik semata.

Menurut Lim retorik mengenai perkauman, ektremisme dan penindasan kaum yang bertentangan dengan prinsip 1 Malaysia datang dari Umno sendiri sehingga timbul persoalan mengenai komitmen dan keikhlasan Najib dalam mengamalkan 1 Malaysia yang sebenar.

Sentimen ini turut dikongsi oleh Khalid yang berpendapat Umno-BN sememangnya tidak mampu membawa konsep kesatuan kaum kerana mereka sendiri tidak dapat bersatu dan hanya memperjuangkan kaum masing-masing.

"Dari sudut itu yang dipertikaikan ialah sejauh mana BN boleh melaksanakan atau menghayati wawasan itu sedangkan kita lihat mereka ini terdiri dari parti komponen setiap kaum yang memperjuangkan kepentingan kaum mereka sendiri. Maka falsafah BN itu sendiri bercanggah dengan semangat 1 Malaysia itu," ujarnya.

Justeru, Khalid berpendapat dasar 1 Malaysia ini hanya merugikan Najib dan Umno-BN sendiri.

Beliau yakin rakyat dapat menilai bagaimana perbezaan penghayatan keadilan dan kesamaan kaum sebenar Pakatan Rakyat dan retorik 1 Malaysia Umno-BN.

"Bila mereka menonjolkan dasar seperti ini, ia sekali lagi senjata makan tuan. Ia dikemukakan atas kepentingan politik BN dan akhirnya ia akan menikam balik Umno-BN," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan