Pengikut

Khamis, 18 November 2010

Zaid Sudah Dilayan Dengan Baik!

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Datuk Zaid Ibrahim bebas untuk meninggalkan PKR jika mahu sambil menegaskan bahawa partinya telah memberikan ruang secukupnya termasuk memilihnya sebagai calon pilihan raya kecil Hulu Selangor April lalu. Kata Anwar, PKR telah memberikan banyak peluang dan layanan khas kepada bekas menteri Kabinet dan bekas pemimpin Umno itu.

Anwar menyatakan pendiriannya ketika ditemui wartawan di Permatang Pauh, Pulau Pinang sempena sambutan Hari Raya Aidiladha.

“Beliau juga pernah meminta untuk menjadi calon (pilihan raya kecil) Hulu Selangor meskipun ditolak oleh bahagian dan mereka membawa bantahan kepada presiden (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail).

“Tetapi kami memberikan beliau satu peluang dan beliau tewas di Hulu Selangor, kami berikan beliau peluang untuk mengetuai PKR Wilayah Persekutuan,” kata Anwar lagi.

Zaid sepatutnya mengadakan sidang media pagi esok untuk memberikan butiran lanjut berhubung keputusannya keluar PKR.

Bagaimanapun maklumat diterima The Malaysian Insider menyebut sidang media itu dibatalkan dan beliau akan mengeluarkan kenyataan menerusi blognya.

Minggu lalu beliau meminta Anwar dan pesaingnya bagi jawatan timbalan presiden Azmin Ali meninggalkan parti selepas menarik diri daripada bertanding kerusi nombor dua itu.

Selasa lalu, Zaid berkata tindakannya keluar PKR bukan kerana beliau mudah mengalah dan suka melompat parti sebaliknya kerana telah muak dengan masalah dalaman parti itu.

Beliau berkata tindakan nekad meninggalkan parti yang dianggotainya kira-kira dua tahun lepas juga kerana berpegang kepada prinsip kebenaran.

Zaid, yang juga bekas penyelaras PKR berkata, tidak wajar bagi sesetengah pihak untuk menyamakan keadaan yang dihadapinya sekarang berbanding ketika beliau berada dalam Umno.

Menurutnya semasa dalam Umno beliau dipecat keahliannya manakala di PKR, beliau secara sukarela menarik diri meninggalkan perjuangan parti yang diterajui oleh Anwar.

Pada akhir 2008, Zaid, yang juga bekas Ahli Parlimen Kota Baru, serta ketua Umno Kota Baru, dipecat daripada Umno kerana tindakannya yang menyalahi Perlembagaan parti, khususnya kerana menghadiri Kongres Nasional PKR.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan