Pengundian pemilihan peringkat Pusat dalam Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2010 hari pertama, semalam telah dapat dilaksanakan dengan baik tanpa sebarang permasalahan.
Setiausaa Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail berkata, pemilihan itu memperlihatkan 9 cabang-cabang PKR di negeri Kedah dan Kelantan mengadakan pengundian bagi 12 kerusi jawatan-jawatan utama dan 60 kerusi ahli majlis pimpinan pusat dan ahli majlis pimpinan sayap Wanita PKR dan Angkatan Muda masing-masing.
Katanya, 9 cabang-cabang utama ini adalah Tumpat, Kota Bharu, Rantau Panjang dan Pasir Mas di Kelantan sementara di Kedah pula adalah Alor Setar, Langkawi, Pokok Sena, Kuala Kedah dan Kubang Pasu.
Tambahnya, pemilihan peringkat Pusat dalam pemilihan kali ini akan diadakan di 222 lokasi cabang-cabang di seluruh negara dan akan dijalankan pada 10 hari-hari mengundi hujung minggu sehingga tarikh 21 November nanti.
“Pengundian hari pertama hari ini telah dapat dilaksanakan dengan baik tanpa sebarang permasalahan,” ujarnya dalam satu kenyataan malam tadi.
Berhubung dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan bahawa kelewatan masa pengundian dimulakan telah menjejaskan kewibawaan proses pengundian ini sehingga meminta untuk keseluruhan proses ini dibatalkan, beliau ingin dijelaskan bahawa kelewatan itu adalah disebabkan oleh kertas-kertas undi yang lewat sampai ke cabang-cabang di Kelantan dan telah melewatkan sedikit permulaan proses pengundian yang sepatutnya dimulakan pada jam 10 pagi.
Walaubagaimanapun, katanya masa pengundian telah dilanjutkan satu jam sehingga jam 5 petang bagi membolehkan anggota-anggota parti melaksanakan hak demokrasi mereka dalam kaedah pemilihan satu anggota-satu undi ini.
Merujuk kepada berita yang di siarkan di laman portal berita freemalaysiatoday.com berhubung dengan dakwaan bahawa Pengerusi JPP Dr Molly Cheah tidak lagi terlibat dengan pengurusan Pemilihan Parti, jelasnya ibupejabat parti juga ingin mengesahkan bahawa beliau masih lagi merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) sehingga hari ini.
Tambahnya lagi, jawatankuasa bebas yang ditubuhkan khusus untuk mengawalselia hal-ehwal pemilihan parti sememangnya terlibat secara langsung untuk menyemak dan menyediakan tatacara proses pemilihan peringkat Pusat berpandukan beberapa kelemahan yang dikenalpasti (sewaktu pemilihan peringkat Cabang tempohari) melalui jawatankuasa kecil teknikal yang dianggotai oleh ahli-ahli JPP lainnya iaitu Rajen Devaraj, Wong Hoy Cheong dan Stephanie Bastian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan