Pengikut

Ahad, 10 Oktober 2010

MCA Tiru Nada Pakatan Rakyat, Mahu 'Malaysian First'

Pemuda MCA hari ini secara terbuka menyokong pendirian 'Malaysian First' yang jelas bertentangan dengan pendirian pimpinan Umno, sebaliknya senada dengan pegangan pemimpin Pakatan Rakyat.

Malah, pemuda MCA tanpa menggunakan istilah pengetua, turut menuntut kerajaan mengambil tindakan tegas dan segera terhadap kakitangan awam yang membuat kenyataan berbaur perkauman.

Selain itu, mereka juga menuntut supaya sukatan latihan Biro Tata Negara (BTN) menghapuskan semua kandungan bercorak perkauman dan memberi tumpuan terhadap semangat kesetianegaraan tanpa mengira kaum dan agama.

Itu adalah antara 14 resolusi yang dicapai pemuda MCA selepas Mesyarat Agung Tahunan ke 46 sayap utama parti komponen komponen kedua terbesar Barisan Nasional malam semalam yang turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Mengalunkan nada berbeza dengan pemuda Umno, MCA mahu keadaan lebih adil dan aman dalam isu hubungan antara kaum yang sejak akhir-akhir ini tampak tegang lantaran kontroversi pengetua sekolah di Johor dan pegawai BTN yang melontarkan kenyataan berbaur rasis.

Pada mesyuarat agung yang pertama kali dihadiri Najib sebagai pengerusi BN, pemuda MCA juga meminta kerajaan BN supaya tegas dalam pendirian menjauhkan diri daripada pertubuhan bukan kerajaan seperti Perkasa bagi meredakan ketegangan antara kaum.

Pengerusi Pemuda MCA, Dr Wee Ka Siong dalam laman twitternya meminta Najib memberi ruang kepada MCA untuk bersuara bagi menunjukkan parti itu masih relevan di mata masyarakat Cina Najib juga dilapor berkata MCA akan terus bersuara bagi masyarakat Cina bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

"PM: Kita mesti memberi ruang kepada MCA untuk 'bersuara' bagi menunjukkan relevan mereka. Delegasi Bersorak,” katanya melalui twitter.

Bagaimanapun, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Pinang dari DAP, Teng Cham Kim membidas ucapan Najib itu menerusi laman twitter yang membidas MCA supaya berbuat sesuatu lebih dari sekadar bersuara.

Malah, Teng menyindir delegasi MCA yang dilapor Wee sebagai bersorak mendengar kenyataan Najib seolah-olah Perdana Menteri itu 'mengurniakan' hak yang tidak pernah dimiliki parti Cina itu.

“Alamak!, Delegasi MCA bersorak bila Najib hanya kata nak beri mereka ruang untuk bersuara seolah-olah Najib kurniakan MCA hak yang tidak pernah diberikan kepada mereka,” katanya melalui twitter.

“Bila dalam kerajaan, untuk jadi relevan lakukan, bukan 'suara' kan,” kata Teng lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan