Pengikut

Selasa, 26 Oktober 2010

KJ Bangkit Isu Pasir Tapi Fakta Semua Salah

Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Faekah Husin berkata Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin hilang punca apabila membangkitkan isu pasir di Selangor dalam ucapan dasarnya semasa Perhimpunan Agung Umno, minggu lepas.

Beliau berkata apa yang memburukkan lagi keadaan apabila kenyataannya dipenuhi dengan fakta salah dan hujah yang memeningkan kepala tanpa hala tuju sebenar yang cuba disampaikan kepada anggota sayap parti itu.

"Beliau seperti ahli politik yang telah hilang punca kerana isu pasir bukan perkara baru, baik di Selangor mahupun di Johor dan Perak. Isu kecurian pasir ini telah dibangkitkan sejak puluhan tahun lalu di Selangor ketika di bawah Barisan Nasional.

"Namun begitu, di sebalik rungutan dan aduan dibuat oleh rakyat, kerajaan negeri yang ketika itu dipimpin bapa mertua beliau sendiri, telah gagal menyelesaikannya.

Ujarnya lagi, Khairy sepatutnya lebih memikirkan Bajet 2011 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dilihat gagal memperkasakan program untuk anak muda sebagai aset penting negara.

Peruntukan RM200 juta jika dibandingkan dengan RM111 juta kepada Permata sepatutnya cukup untuk menguja untuk dibahaskan di peringkat parti.

"Khairy sepatutnya lebih menumpukan dalam menunaikan janji pilihan raya beliau kepada rakyat Rembau untuk membawa perkhidmatan monorel hingga ke depan pintu rumah mereka.

"Tiga tahun telah berlalu, jangankan monorel, cerita mengenainya kian menjadi dongeng jenaka," sindir Faekah dalam kenyataan media tersebut.

Tegasnya, semenjak Pakatan Rakyat mengambil alih Selangor, kebanyakan kelemahan tidak ditangani dengan baik, antaranya sistem pentadbiran, amalan kecurian pasir yang menjadi perniagaan utama ahli politik, penyalahgunaan kuasa dan korupsi di kalangan ahli politik dan penjawat awam semakin menjadi budaya, rakus terhadap alam sekitar hinggakan menjadi punca malapetaka dan kelemahan dalam penguatkuasaan serta tahap keselamatan yang semakin membimbangkan.

"Kerajaan Negeri berjaya menubuhkan Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) untuk menguruskan industri pasir bertujuan memastikan industri ini diurus dengan sistematik, berkesan dan memberi keuntungan.

"Matlamatnya bukanlah sekadar untuk mendapat perniagaan yang menguntungkan tetapi bagi menyalurkan keuntungan ini terus kepada program-program kebajikan yang dijalankan Kerajaan Negeri menerusi program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) seperti Tabung Wawasan Anak Selangor (Tawas), Skim Mesra Usia Emas (SMUE), bantuan anak masuk universiti dan Tabung Anak Pekerja Ladang.

"Hasilnya amat memberangsangkan hingga seluruh rakyat Selangor sedar bahawa hasil negeri adalah milik rakyat dan harus dipertahankan," tambah beliau.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan