Pengikut

Sabtu, 4 Jun 2011

UMNO takutkan Melayu dengan DAP

UMNO amat bimbang sekiranya orang Melayu mula memahami perjuangan sebenar DAP kerana ia
akan membuang segala ketakutan terhadap parti pelbagai kaum itu.

Ketua Pemuda DAP Anthony Loke berkata hanya penerimaan orang Melayu terhadap DAP di samping sokongan orang bukan Melayu terhadap PAS dan PKR mampu menewaskan UMNO dan Barisan Nasional dalam pilihan raya umum akan datang.

“Saya selalu ambil petikan kata-kata Mohamad Sabu (yang baru dipilih sebagai Timbalan Presiden PAS semalam) kerana saya pun sama pendapat dengannya. Katanya, ‘kalau orang Melayu tak boleh terima DAP, orang Cina tak boleh terima PAS, maka sampai kiamat UMNO akan jadi kerajaan’.

“Ini formula BN. Sampai kiamat tak akan ada perubahan kalau kita terperangkap dengan dakyah sebegini. Kalau Melayu sedia menerima DAP dan Cina sedia terima PAS, UMNO akan kalah,” katanya dalam satu wawancara dengan Roketkini.

Menurutnya, pada masa ini, orang Cina sudah mula menerima PAS walau pun MCA dan Gerakan cuba menakut-nakutkan mereka kononnya parti itu adalah musuh kepada kaum bukan Melayu.

Masalahnya buat masa ini, beliau menambah, adalah keadaan di mana orang Melayu belum bersedia untuk menerima DAP berikutan tohmahan dan fitnah terhadap parti itu sejak ia ditubuhkan 45 tahun lalu.

“Dengan keadaan itu, sekurang-kurangnya kita menang separuh. Sebagai contoh, dalam pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang pada 2009, calon PAS Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin menang dengan undi majoriti kaum Cina.

“Ini menunjukkan kaum Cina yakin dengan Pakatan Rakyat, malah menyokong calon-calon yang mereka anggap berwibawa seperti Nizar. Bukan saja di Bukit Gantang, saya rasa banyak lagi tempat yang mana majoriti Cina mengundi PAS,” katanya.


Loke yang juga Ahli Parlimen Rasah berkata UMNO yang menyedari keadaan itu tidak boleh berbuat apa-apa dengan pendirian kaum Cina, dan dengan itu, berusaha untuk menakut-nakutkan Melayu supaya tidak menyokong DAP.

“Ini lah cabaran sengit yang dihadapi oleh UMNO dan BN. Mereka rasa kalau selama-lamanya mereka memecahkan parti pembangkang, supaya tidak ada gabungan yang kukuh, maka mereka rasa Pakatan tak boleh yang mencabar kedudukan BN.

“Perkiraan UMNO dan BN, dengan dakyah yang ditaburkan kepada orang Melayu, BN akan terus menang by default kerana tak ada cabaran,” tambahnya.

Beliau menjelaskan UMNO dan BN yang seperti kehilangan arah hanya berpegang kepada formula mahu memecahkan perpaduan Pakatan.

Dengan itu, UMNO terdesak menyerang DAP terus-terusan kerana mereka amat takut Melayu boleh menerima DAP jika mengetahui dan memahani prinsip dan pendirian sebenar parti yang memperjuangkan keadilan dan peluang saksama itu.
Menurutnya kitaran politik sudah berubah sekarang berbanding dalam PRU 1999 di mana orang Melayu tidak kisah sangat soal kerjasama PAS dengan DAP dalam Barisan Alternatif kerana isu utama pada masa itu ialah pemecatan dan pemenjaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim Ibrahim.

“Jadi yang menjadi sasaran UMNO dan BN pada 1999 adalah menakut-nakutkan kaum Cina pula. BN ketika itu memainkan isu orang Cina tak boleh terima PAS. Mereka serang secara habis-habisan menggunakan isu Negara Islam, reformasi di Indonesia, pembunuhan etnik Cina di Indonesia, dan sebagainya.

“Wajah-wajah itu dimainkan media BN ketika itu. Tujuanya ialah supaya Cina tak boleh terima PAS. Taktiknya ialah apabila kaum Cina tak boleh terima PAS, mereka tidak menghukum PAS (kerana PAS tidak bertanding di kawasan majoriti kaum Cina), sebaliknya mereka hukum DAP (kerana kerjasama DAP dengan PAS dalam BA),” katanya.

Kini, UMNO dan BN kembali mengubah taktik dengan menakut-nakutkan orang Melayu supaya menolak DAP, tambahnya.

Sama seperti taktik 1999, Loke menjelaskan, apa yang UMNO dan BN mahu lakukan ialah apabila orang Melayu diyakinkan supaya menolak DAP, secara automatik mereka akan menghukum PAS kerana bekerjasama dengan DAP dalam Pakatan Rakyat.

Pada masa yang sama, beliau menambah, UMNO cuba menonjolkan yang ia mahu bersahabat dengan PAS bagi menunjukkan kepada orang Melayu bahawa kononnya PAS juga tidak mahu kepada DAP.

Dengan itu, Loke merayu kepada rakyat semua kaum berhati-hati dengan permainan politik kotor perkauman UMNO dan BN kerana jika terpedaya dengan dakyah tersebut, BN akan terus berkuasa dan masalah-masalah penyalahgunaan kuasa, rasuah, penyelewengan serta kenaikan harga barang dan lain-lain kemelut masyarakat akan menjadi lebih buruk.

-Roketkini


Tiada ulasan:

Catat Ulasan