Pengikut

Khamis, 14 Oktober 2010

Jom bersama XPDC Dakwah Konsert Adam Lambert

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) kesal dengan tindakan Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL) yang tetap berdegil dan mahu meneruskan Konsert Adam Lambert yang akan dijadualkan berlangsung di di Stadium Putra Bukit Jalil khamis ini. Konsert sulung yang diberi nama ‘Adam Lambert Glam Nation Tour Live in Malaysia 2010′ akan tetap diteruskan atas alasan mereka harus mematuhi syarat-syarat dan garis panduan yang telah dikeluarkan oleh PUSPAL. Ketua Penolong Setiausaha PUSPAL, Mohd. Dian Nais berkata antara syarat yang ditetapkan ialah pakaian artis yang tidak keterlaluan serta artis terbabit tidak melakukan kelakuan melampau seperti membuka pakaian ketika membuat persembahan.

Ternyata kerajaan UMNO/BN tidak peka dengan bantahan demi bantahan yang telah dikemukakan dengan memandang remeh akan hal-hal yang berkaitan dengan masalah sosial serta tidak mengambil kira pandangan rakyat terutamanya diperingkat marhaen agar konsert ini dihentikan atas dasar penyanyi tersebut yang sememangnya jelas mengaku beliau seorang gay. Bagaimana ini boleh menjadikan kerajaan ‘membutakan mata dan memekakkan telinga’ atas segala rayuan dan permintaan agar konsert ini dihentikan demi memelihara sensitiviti masyarakat yang rata-rata penduduk Malaysia majoritinya beragama Islam. Mengapa didalam hal ini tidak mahu merujuk kepada mereka yang mahir hukum hakam agama? Bukankah ramai tokoh-tokoh dan mufti-mufti kerajaan negeri yang boleh dibuat rujukan? Atas dasar apa PUSPAL melihat ke’harusan’nya konsert ini mesti diadakan? Apa jaminannya yang rakyat tidak akan terpegaruh dengan budaya gay yang pastinya akan dipertontonkan sebagai salah satu gimik konsert. Sedangkan dalam masa yang sama, satu lagi konsert oleh artis yang mengajak manusia kembali kepada jalan Allah swt iaitu Maher Zain yang akan berlangsung di Dewan MBSA tidak pula digembar-gemburkan dan sepi daripada pandangan media.

Jelas kerajaan UMNO/BN hanya mementingkan keuntungan semata-mata dan bukannya mahu mendidik rakyat kearah menjadi manusia yang tinggi nilai peradabannya. Sebaliknya berusaha menjadikan rakyat ‘buta dan tuli’ terhadap kepincangan pentadbiran negara, masalah sosial dan kerosakan akhlak yang semakin parah dengan hanya memberikan hiburan semata-mata.

Atas kedegilan pihak kerajaan yang tetap mahu meneruskan konsert tersebut, DPPWP akan bersama-sama Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP ) dalam menganjurkan XPDC Dakwah ‘Membantah Penganjuran Konsert Adam Lambert’ secara besar-besaran pada 14 Okt ini bermula jam 8.00 malam bertempat dimana konsert itu akan berlangsung. DPPP akan mengerakkan pemuda di seluruh negara termasuk NGO-NGO dan pelajar universiti supaya turun bersama kepimpinan DPPP , DPPWP dan PAS Pusat untuk membantah penganjuran konsert tersebut. Oleh itu DPPWP menyeru kepada semua agar dapat turun bersama-sama Pemuda PAS mencegah mungkar.



Dari pemudawilayah

Tiada ulasan:

Catat Ulasan