SAYA tabik kepada pencipta iklan Astro yang dialognya berbunyi “macam-macam ada”.
Macam-macam ada di rangkaian satelit Astro milik T. Ananda Krishnan. Tapi dalam satu Malaysia kita ini, lebih banyak macam-macam daripada dalam Astro.
*Kita ada peguam dituduh bunuh peguam dan bila dibicarakan tentulah dibela oleh peguam. Sebab itulah kita kena ada banyak peguam.
Meminjam ungkapan Inggeris “hold your horses”. Jangan tunggang lagi kuda anda atau jangan pipiskan lada kerana melihat burung di langir. Silap-silap hari bukan kena buang kes. Maklumlah bila peguam dituduh bunuh peguam dan dibela pula oleh ramai peguam, macam-macam isu teknikal akan dibangkitkan.
Seperti kita sudah bincang sebelum ini, banyak kes berat dan sensasi, termasuk bunuh dan rasuah, dibuang kes kerana penyiasatan dan pendakwaan haprak.
*Kemudian kita ada flip-flop. Rasa-rasanya tidak ada satu istilah yang serupa dalam bahasa Melayu. Contohnya cadangan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).
Sekejap kata tetap akan dilaksanakan datanglah hujan atau ribut. Jadi para penganalisis dan ekonomis pun puji dan puja kata GST bagus dan kerajaan berani hadapi realiti.
Dok tak dok, kata orang Utara, hujan turun dan GST pun ditangguhkan, kononnya demi keterangkuman terpaksa berunding dulu dengan rakyat jelata.
Alhamdulillah, eloklah kalau rakyat jelata didahulukan dan pencapaian ditangguhkan sebentar. Tak guna capai hasil kerajaan yang lebih besar kalau rakyat berasa tidak didahulukan, apatah lagi pada saat-saat dua pilihan raya kecil akan diadakan dan pilihan raya negeri Sarawak mungkin tidak lama lagi. Kalau tidak dahulukan rakyat, boleh bungkus.
Jadi menteri yang banyak cakap mengenai GST iaitu Menteri Kewangan Kedua, Ahmad Husni Hanadzlah, sudahlah “terbotol”. Dalam lingo jalanan Utara, terbotol atau terbotoi bermaksud tertipu atau menderita malu.
Macamlah bila Timbalan Menteri Kewangan, Awang Adek, “pertahan” pengeluaran lesen judi bola sepak kepada Vincent Tan. Dok tak dok, flip dan flop cadangan itu dibatalkan. Terbotoilah dia.
*Kemudian berita mengenai perniagaan saham Plus di Bursa Malaysia digantung. Ada yang berkata kerana cadangan pembelian UEM oleh MMC Berhad (kawalan Bumiputera). Plus adalah milik UEM (GLC). Ada yang meramalkan kerana tawaran Asas Serba Sdn Bhd (Bumiputera) membeli semua konsesi lebuh raya di negara ini, termasuk Plus.
Tapi yang nampaknya paling berkredibiliti adalah khabar bahawa Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (EPF) telah diarah supaya membeli Plus agar dengan itu “terbagtallah” cadangan MMC dan Asas Serba.
Kemudian bertiup khabar angin mengatakan Halim Saad, bekas pemilik UEM, akan saman Khazanah kerana ambil alih syarikatnya pada tahun 2001 tetapi tidak bayar apa yang dijanjikan.
Dalam temu ramah dengan New Straits Times baru-baru ini, Halim mendakwa yang membuat arahan dan keputusan adalah Nor Mohamed Yakcop yang waktu itu penasihat ekonomi Perdana Menteri.
*S. Samy Vellu, presiden MIC selama lebih 30 tahun berkata dia tidak menyesal meletakkan jawatan Januari ini. Apa yang hendak disesalkan? Dia sendiri kalah teruk di Sungai Siput dan MIC hampir-hampir terpelanting daripada Parlimen dan DUN.
Yang akan menyesal adalah ahli MIC, orang keturunan India dan penyokong Barisan Nasional jika Samy Vellu tiba-tiba ubah fikiran. Jadi Mohd Najib Abdul Razak sebagai pengerusi Barisan Nasional wajib pastikan Samy Vellu tidak flip-flop.
*Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) Saifuddin Nasution Ismail menolak dakwaan kononnya wujud unsur sabotaj dan konspirasi bagi menghalang Ahli Parlimen Lembah Pantai dan anak Anwar Ibrahin, Nurul Izzah Anwar, daripada bertanding jawatan timbalan presiden.
Menurut Malaysian Insider, berdasarkan maklumat terbaru, Nurul Izzah boleh bertanding selepas Biro Politik mengiktiraf pencalonan lewat dari bahagian Semporna. Nurul Izzah dapat pencalonan minimum dua bahagian.
Daripada laporan media, yang boleh bertanding adalah Nurul Izzah, Mohd Azmin Ali, Abdul Khalid Ibrahim dan Mohd Zaid Ibrahim. Zaid kata kalau Nurul Izzah bertanding, dia tarik diri. Tapi kita kena tunggu takut-takut ada yang flip-flop.
*Pada 13 Okt. Istana Kelantan tarik balik anugerah yang membawa gelaran “Datuk” daripada presiden Perkasa, Ibrahim Ali yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas. Ibrahim kata panggillah dia Sudara Ibrahim. Maka saya ucapkan salam dan selamat maju jaya kepada Saudara Ibrahim aka Tok Him.
Tiada ada masalah, sekarang ni semua orang datuk. Saya sah jadi datuk sebab dah ada empat orang cucu. Saya tabik Tok Him. Pada tahun 1977 penunjuk perasaan Tok Him baling batu dan lumpur ke dalam kompleks DUN Kelantan. Habis kot baru saya ihsan akhbar Buisness Times Times kena lumpur. Saudara Rejal Arbee pun kena juga.
Tak lama lepas itu, kerajaan BN (Pas, Berjasa, Umno dan MCA) Kelantan jatuh dan diganti oleh kerajaan DOG – director of government dengan Tengku Razaleigh sebagai penggerak utama. Dia memperkenalkan Kelantan Development Plan yang membawa banyak kemajuan kepada negeri Cik Siti Wan Kembang itu.
Pada tahun 1978, BN tawan Kelantan secara rasmi. Tapi pada tahun 1990, Pas tawan balik Kelantan dengan bantuan Parti Melayu Semangat 46 pimpinan Tengku Razaleigh.
Sekarang Umno beri tanggungjawab menggalas pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri Galas kepada Ku Li.
Ada pemerhati berkata, Ku Li adalah harapan terbaik BN takluk semula Kelantan. Tapi ada juga yang kata, kalau Ku Li boleh merampas Galas daripada Pas pun sudah cukup baik. Kata mereka, dalam PRU lalu, Ku Li tidak mendapat undi yang mencukupi dari kerusi Galas.
*Sultan Johor derma kereta dan motosikal berkuasa tinggi kepada PDRM. Junjung kasih Tuanku. Tapi adakah PDRM mampu membelanjakan lebih banyak duit membeli minyak dan menyelenggarakan kereta dan motosikal yang mahal itu?
Ada macam-macam lagi. Tapi buat kali ini, cukuplah setakat ini dulu. Harap-harap apa yang kita baca dan bahas akan beri sedikit penetrasi maklumat dan ilmu kepada benak kita.
Oleh A Kadir Jasin
Tiada ulasan:
Catat Ulasan