Rakyat Malaysia rata-rata mengakui kerajaan Umn0-Barisan Nasional gagal meningkatkan kualiti hidup rakyat berbilang kaum di negara ini walaupun selepas 53 tahun negara mencapai kemerdekaan.
Tinjauan rambang mendapati antara isu yang ditimbulkan rakyat ialah keupayaan kerajaan menangani masalah ekonomi, peningkatan kos sara hidup yang semakin tinggi dan pengagihan kekayaan yang tidak samarata.
Manakala dari segi masyarakat pula, rakyat merungut bertambahnya gejala sosial yang semakin membimbangkan.
Abdul Rahman Husin, 36, seorang Juruteknik berkata, usaha kerajaan dalam membasmi kemiskinan bandar di negara ini masih belum mencapai tahap yang memuaskan berikutan peningkatan kos sara hidup yang semakin tinggi terutama di kawasan bandar.
"Saya masih belum lagi menanam keyakinan kepada kerajaan disebabkan taraf kemiskinan masih teruk. Cara rakyat berfikir juga masih belum mencapai ke tahap seusia kemerdekaan itu sendiri," katanya.
Mohamad Nazri Ismail, 36, berkata dari sudut ekonomi beliau masih lagi tidak berpuashati dengan prestasi yang ditunjukkan kerajaan dalam membangunkan negara ini.
"Saya juga tertanya-tanya bagaimana pendapatan dan hasil bumi yang kaya di negara ini, tetapi masih ada lagi orang hidup dalam kedaifan. Ramai yang masih menderita walaupun pembangunan infrastruktur dan rancak. Begitu juga dari sudut pembangunan spiritual dan rohani semakin mundur. Gejala sosial dan jenayah meningkat," katanya dalam nada kesal.
Sementara itu, bagi Ram Ponusamy, 59, aktivis KEADILAN berkata beliau tidak menaruh keyakinan dan harapan kepada kerajaan bagi memulihkan keadaan ekonomi negara sedangkan rakyat menderitadengan penarikan balik subsidi barangan keperluan.
"Konsep 1Malaysia yang kononnya mendahulukan rakyat sebaliknya menipu rakyat dengan menaikkan harga barang. Kerajaan juga gagal melaksanakan tangga gaji minima kepada rakyat malah 87 peratus penduduk di Malaysia tidak ada rumah sendiri," kata Ram.
Mohd Amri Mohamad Noh, 27, yang bertugas sebagai seorang penyelia berkata kerajaan gagal memenuhi tanggungjawab menjaga kebajikan rakyat termasuk dalam isu tuntutan gaji minima.
"Ramai lagi pekerja yang masih mendapat upah di bawah garis kemiskinan, terutamanya di kawasan bandar. Rasanya kerajaan gagal untuk memperbaiki taraf hidup rakyat," ujarnya.
Rosli Ibrahim, 36, kerani guaman berkata, selepas 53 tahun Malaysia merdeka, masih banyak lagi perkara yang dilihat ketinggalan terutama dari sudut ekonomi, pendidikan dan perkhidmatan.
"Antara masalah yang masih gagal diselesaikan ialah yang paling dekat dengan rakyat iaitu masalah pengangkutan. Kita tengok sekarang pengangkutan sangat tidak praktikal, tidak ada sistematik dan tidak menyeluruh ke kawasan-kawasan perumahan meskipun kerajaan telah membelanjakan berbilion ringgit untuk menaiktaraf pengangkutan awam,"ujarnya.
Orang ramai juga berkata kerajaan Umno-BN tidak menghormati hak asasi rakyat dan menutup ruang demokrasi yang lebih luas.
Mohamad Faizal Riduan, 22, mahasiswa jurusan kejuruteraan elektrik dari Universiti Tun Hussein Onn (UTHM) beranggapan, negara ini masih aman untuk didiami dan rakyatnya tidak berada dalam suasana kacau bilau namun ini tidak bermakna tiada penderitaan yang dialami oleh warganya.
"Merudumnya hak-hak warga di dalam negara ini adalah akibat daripada struktur politik yang tidak sihat dan diwarisi dari sifat kolonial pada zaman penjajahan dahulu. Manakala golongan muda seperti mahasiswa hanya dididik untuk memenuhi ruang kerjaya di dalam pasaran dan industri.
"Apa yang dilakukan oleh kerajaan Malaysia sekarang ini dilihat lebih kepada persaingan dengan negara luar. Mereka seperti cemburu dan terpaksa melakukannya.
Aspek kemanusiaan dan menerapkan keperibadian yang tinggi gagal dilakukan," tambah Faizal.
Manakala golongan profesional seperti Yusof Adam Broughton, 28, seorang Pegawai Penyelidik menjelaskan, beliau tidak menafikan banyak kemajuan dan peningkatan jika hendak dibandingkan dengan dahulu.
"Namun dari segi nilai kemanusiaan semakin berkurangan. Sebagai contoh, Institut Pengajian Tinggi boleh dianggap sebagai ruang kepada anak muda untuk terjebak kepada gejala sosial.
"Selain itu, kerajaan Malaysia nampaknya tidak berjaya untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat. Persepsi kebanyakan orang ialah kenapa orang kaya makin kaya, dan orang miskin semakin menderita? Keutamaan hanya kepada kelompok mereka yang elit. Sedangkan kebajikan kepada orang biasa tidak diendahkan," soalnya.
Seorang peniaga, Chong Ki Meng, 49, berkatasentimen perkauman semakin meningkat dewasa ini sehinggakan menimbul kan kegelisahan antara kaum yang sekian lama hidup dalam aman dan harmoni.
"Saya bangga menjadi rakyat di sebuah negara yang bergelar Malaysia, kita tahu bagaimana susahnya orang yang terdahulu menghadapi dugaan untuk menyambut kemerdekaan.
"Bagaimanapun kita lihat terlalu banyak perkara yang menyentuh isu perkauman dimainkan lebih-lebih lagi oleh. Malaysia telah 53 tahun merdeka dan perkara itu perlu dibuang dari jiwa pemimpin dan rakyat negara ini.
"Kerajaan hanya menyatakan rakyat didahulukan tetapi dasar yang jelas perkara tersebut gagal dipegang sepenuhnya oleh kerajaan untuk meningkat kualiti hidup rakyat. Apa perlu slogan kalau rakyat terus dibeban atas silap kerajaan mentadbir negara ini," tanya Ki Meng.
Dari Suara Keadilan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan