Pengikut

Jumaat, 24 September 2010

Hebatnya Gimik Replika Cek RM4 Bilion...

Saya tidak pasti bagaimanakah hendak menunjukkan reaksi selepas membaca berita ini kerana hendak dikatakan ia kisah lawak jenaka paling hebat abad ini tapi ia benar-benar berlaku dan berlaku di hadapan khalayak ramai serta mendapat liputan media secara meluas.

Sebuah syarikat yang khabarnya diterajui oleh anak Kelantan di luar negara dilaporkan telah menyumbangkan derma bernilai RM4 bilion kepada Parti Islam SeMalaysia atau ringkasnya PAS dalam satu majlis makan malam yang diadakan di Kota Baru malam Ahad lalu.

Sumbangan derma itu dibuat dalam bentuk replika cek yang tertera nama Bank Al Rajhi di atasnya. Adalah tidak jelas atas sebab apa syarikat ini bersedia menyumbangkan derma sebanyak itu kepada PAS. Tapi itu soal lainlah kerana ia hak tuan yang punya diri.

Namun yang lucunya, Exco Kanan Kerajaan Negeri Kelantan yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri, Datuk Nik Amar Abdullah (gambar kiri) pun ketika ditemui para pemberita keesokan harinya tidak pasti apa bentuk reaksi yang perlu beliau berikan apabila ditanya mengenai derma tersebut. Beliau pun tidak pasti sama ada pemberian sedekah paling hebat dalam sejarah kewujudan PAS itu benar-benar ‘benar’ atau sekadar satu gimik semata-mata.

Majlis itu berlangsung di hadapan lebih seratus tetamu yang kebanyakkan ahli perniagaan yang khabarnya akan turut dihadiri oleh Sultan Kelantan yang baru iaitu Tuanku Muhammad Faris Petra dan juga Menteri Besar. Tetapi akhirnya baginda Sultan pun tidak hadir dan MB pun tidak kelihatan.

Malah Nik Aziz ketika ditemui para pemberita pada hari Selasa (21 Sept), juga kelihatan seperti tidak tahu menahu mengenai sumbangan derma tersebut.

Hendak dikatakan ini usikan April Fool pun, bulan April lambat lagi tapi Nik Amar dalam kata-katanya sendiri menyebut, ia adalah terlalu baik untuk dikatakan benar.

Akhirnya yang naik ke pentas untuk menerima cek ialah adik kepada Menteri Besar, Nik Din Nik Mat kerana tidak ada seorang pun wakil kerajaan negeri yang hadir. Malah khabarnya beberapa kakitangan kerajaan negeri yang turut hadir pada majlis tersebut pun tidak berani untuk naik ke pentas menerima replika cek tersebut bagi pihak kerajaan negeri.

Nik Din pada keesokan harinya terpaksa membuat penjelasan lanjut bahawa kemunculannya di atas pentas untuk menerima cek itu bukanlah atas kapasitinya secara peribadi tetapi setelah tidak ada wakil daripada Kerajaan Negeri yang tampil untuk menerimanya.

Ada kemungkinan besar semua Exco Kerajaan Negeri bersama MB mengaru kepala pening-pening lalat sama ada hendak percaya atau tidak yang parti mereka akan menerima sumbangan dana bernilai RM4bilion dalam satu malam. Maka itu tidak ada seorang pun yang hadir dengan memberi pelbagai alasan dan juga sebab musabab.

Setahu saya, manusia Melayu terkaya di Malaysia, Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhari (gambar kanan) pun belum pernah menyumbang sebanyak itu kepada mana-mana pihak tetapi jika syarikat anak Kelantan ini yang bernama I’Da World Group Sdn Bhd mampu menyumbang derma sebanyak itu maka saya tidak dapat bayangkan berapakah pula rezab yang mereka miliki untuk menjalankan perniagaan mereka itu.

Pendek kata, dah tentulah lebih banyak dari itu. Jika tidak, manakan mampu menderma RM4 bilion dalam sekelip mata begitu sahaja.

Bukan apa, apabila membaca kisah pemberian derma ini, saya teringatkan kisah seorang ‘jutawan’ Lebanon yang berjanji akan menderma entah berapa bilion ringgit kepada Makna iaitu sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang membantu pesakit-pesakit kanser kononnya untuk membolehkan Makna membina hospital.

Akhirnya wang berbilion itu pun tidak nampak malah jutawan tersebut dihukum penjara kerana didapati bersalah kerana menjalankan perniagaan di negara ini tanpa permit yang sah.

Saya tidaklah mendakwa I’da World Group ini pun begitu tetapi jika benarlah PAS menerima bantuan derma sebanyak itu daripada kumpulan tersebut, saya ingin mengucapkan syabas.

Ini kerana, PAS akan menjadi parti politik paling kaya di Malaysia dan bakal berkempen dalam pilihan raya umum ke-13 nanti tanpa sebarang masalah kewangan kerana kantung telah penuh dengan fulus...TAHNIAH!



Oleh ROZAID A. RAHMAN

Tiada ulasan:

Catat Ulasan