Pengikut

Rabu, 22 September 2010

Surcaj Air Untuk Pengguna Domestik

Kerajaan Negeri Pulau Pinang hanya memperkenalkan tarif penjimatan air untuk pengguna domestik, bukan kadar kenaikan domestik bermula 1 November 2010, kata Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Kadar yang dikenakan ialah 20 peratus lebih tinggi daripada kos penggunaan lebihan air yang bertujuan menghadkan penggunaan air kepada 233 liter sehari berbanding sekarang 286 liter sehari.

Bagi mengurangkan kepada tahap itu, mana-mana pengguna menggunakan lebih daripada 233 liter sehari mereka akan dikenakan bayaran secaj tambahan 24 sen satu meter padu.

"Untuk mencapai sasaran 233 liter sehari, maka Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBA) dan Kerajaan Negeri relah memohon klepada kabinet untuk mengenakan secaj yang sepatutnya bermula 1 Oktober tetapi memandangkan bayaran bulan dua bulan sekali ia akan berkuatkuasa pada 1 November 2010," ujar beliau dalam sidang media di pejabatnya tengah hari tadi.

Menurutnya, terdapat tiga tujuan utama berbuat demikian, pertamanya adalah untuk menghukum golongan yang membazir air kerana terdapat 30 peratus pengguna air di negeri ini suka melakukan pembaziran air paip yang disediakan oleh kerajaan.

Selain itu, katanya tarif penjimatan juga bermatlamat memastikan rakyat Pulau Pinang tidak menyalahgunakan subsidi air domestik yang mereka nikmati sekarang.

Ia juga, ujarnya untuk mempromosikan budaya penjimatan air di negeri ini di samping membantu penjimatan PBA, kerajaan negeri serta pelaburan asing tanpa membina lebih banyak empangan air.

PBA telah memberikan subsidi sebanyak RM41 juta terhadap penjualan air paip kepada pengguna domestik kurang daripada harga pengeluaran di mana 400 ribu pengguna menikmati subsidi air tesebut.

"Pengguna domestik jangan bimbang tentang kenaikan kerana kerajaan negeri tidak bertindak menaikkannya sebaliknya masih menikmati subsidi seperti biasa," jelas beliau.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang merupakan negeri pertama dan mempunyai kadar domestik yang paling rendah mengenakan secaj penjimatan air di Malaysia bagi mengelak daripada kenaikan tarif air.

Dasar penjimatan air yang baru itu, kata beliau pastinya tidak menyenangkan badan bukan kerajaan (NGO) yang mahukan kenaikan tarif air.

Menurutnya, memandangkan dasar kerajaan untuk membantu rakyat, maka satu pendekatan diambil untuk menghukum mereka yang membazirkan air bukan pengguna air.

"Kerajaan berharap pengguna di Pulau Pinang tidak membazirkan air tetapi menggunakan air dengan berhemah. Kadar penggunaan 233 liter sehari pun begitu banyak berbanding saranan yang dikeluarkan oleh Purata Kebanggsaan 205 liter sahaja. Lebih tinggi daripada syor oleh Bangsa-Bangsa Bersatu yang mahukan 160 liter air sehari," tambahnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan