Kerjaan negeri Pulau Pinang menyerang balas terhadap Umno berhubung isu nama Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng digunakan dalam khutbah dengan menimbulkan tindakannya menganjurkan sembahyang hajat bagi calon BN pilihan raya kecil Hulu Selangor P. Kamalanathan, April lalu.
Sambil menyifatkan Umno bertindak “talam dua muka”, Exco Kerajaan Negeri yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal agama Abdul Malik Kassim berkata, BN ada membacakan Yasin dalam sembahyang hajat yang diadakan khusus bagi calon mereka yang berhadapan dengan wakil Pakatan Rakyat Datuk Zaid Ibrahim.
Kamalanathan memenangi kerusi itu.
“Jika mengatakan nama Ketua Menteri dalam khutbah tidak betul, mengadakan sembahyang hajat dan membacakan Yasin bagi calon bukan Islam BN adalah lagi tidak betul,” kata Abdul Malik sambil menunjukkan gambar kain rentang yang menjemput orang ramai menghadiri majlis tersebut.
Kata beliau gambar itu diperoleh dari Internet.
“Solat hajat dan membaca Yasin adalah satu perkara besar dalam agama, ia tidak seharusnya dilakukan (dalam bentuk sedemikian),” kata Abdul Malik lagi.
“Mereka yang mengadakan sembahyang khas adalah mereka yang sama membawa isu khutbah Jumaat ini,” kata beliau merujuk kepada dakwaan Umno bahawa beberapa masjid di Pulau Pinang menggantikan nama Lim bagi menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dalam khutbah kedua Jumaat.
Umno menafikan mereka sengaja mengadakan isu ini.
Kedua-dua Abdul Malik dan Timbalan Ketua Menteri I Datuk Mansor Othman yang menghadiri sidang media itu menegaskan, nama Yang di-Pertuan Agong tidak pernah digugurkan daripada khutbah Jumaat oleh mana-mana masjid di negeri itu.
Mereka juga meminta polis mempercepatkan siasatan ekoran tohmahan yang dikenakan ke atas khatib dan imam dalam isu semasa ini.
Mansor berkata, pihaknya juga sedang mengendalikan siasatan sendiri dan akan mendedahkan hasilnya dalam waktu terdekat.
Polis Pulau Pinang telah menubuhkan satu pasukan khas bagi menyiasat isu kejadian khatib yang didakwa menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong kepada nama Ketua Menteri dalam doa khutbah kedua solat Jumaat.
Isu itu ditimbulkan oleh Umno Pulau Pinang Khamis lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan