Pengikut

Sabtu, 28 Ogos 2010

KEADILAN Parti Masa Depan Beri Ruang Kepada Pemimpin Muda Srikandi

Langkah menampilkan buat pertama kalinya Ketua Srikandi KEADILAN, Siti Aishah Shaik Ismail dalam pemilihan parti sebagai calon ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) membuktikan kesediaan dan keterbukaan parti dalam mengenengahkan bakat baru sebagai generasi pelapis kepimpinan masa depan.

Selain Siti Aishah, sayap baru Wanita KEADILAN itu juga mencalonkan tiga tokoh muda barisan untuk jawatan dalam kepimpinan Wanita Pusat.

Dalam satu kenyataan media, Naib Ketua Srikandi II, Juwairiya Zulkifli berkata pemilihan parti kali ini bakal menyaksikan proses demokrasi tulen dilaksanakan dalam memilih kepimpinan parti yang buat kali pertama di lakukan oleh sebuah parti politik di Malaysia.

"KEADILAN sebuah parti muda yang dianggotai dan dibarisi oleh ramai kepimpinan muda, meraikan kepimpinan baru yang berpotensi untuk memimpin parti ini ke arah Malaysia yang baru.

"Srikandi sebagai sebuah sayap baru Wanita KEADILAN turut sama bergandingan dalam menyokong dan mengukuhkan parti dengan menyediakan pelapis kepimpinan muda parti.

"Segala kepercayaan dan amanah yang diberikan kepada Srikandi pastinya akan dipikul sebaik mungkin oleh pimpinan Srikandi yang ada. Srikandi akan menghadapi semua proses pemilihan dengan baik dan menjadikan ia sebagai satu pengalaman baru yang cukup ternilai," kata Juwairiya.

Kata beliau, ruang dan peluang yang seluasnya dibuka oleh kepimpinan Wanita Pusat bagi melibatkan kepimpinan wanita muda di dalam menerajui Wanita KEADILAN wajar diberikan penghargaan dan ucapan terima kasih.

Srikandi menyokong penuh kepimpinan Ketua Wanita KEADILAN, Zuraida Kamarudin serta kepimpinan Wanita Pusat yang sentiasa memastikan suara dan pandangan kepimpinan wanita muda Srikandi diiktiraf dan diambil kira dalam usaha bersama mengukuhkan parti dan memperjuangkan hak rakyat.

Juwairiya menambah Srikandi akan terus memastikan wanita muda diiktiraf dan dihargai oleh parti dengan tekad setia dan keazaman tulus kepada perjuangan parti.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan