Pengikut

Jumaat, 9 Oktober 2009

UMNO TIADA KUALITI, KREDIBILITI, DAN INTEGRITI

Ciri-ciri pemimpin yang bagus ialah kualiti, kredibiliti, dan integriti. Ciri-ciri yang dinyatakan itu tidak ada dalam UMNO. Pandangan ini dibuat berasaskan pembongkaran demi pembongkaran yang diserlahkan kepada rakyat tentang laku perbuatan para pemimpin UMNO yang sudah lebih setengah abad memerintah Malaysia.

KUALITI

Jika bersih dijadikan penanda aras kepada kualiti pemimpin, kita dapat mengesahkan bahawa barisan kabinet Najib tidak berkualiti. Pegangan ini diperkuatkan lagi oleh kenyataan Dr. Mahathir bahawa masih terdapat 2 atau 3 orang anggota kabinet Najib yang tidak bersih. Kabinet Najib menjadi bertambah tidak bersih apabila orang yang kalah dalam PRU Ke-12 yang lalu dan orang yang tidak bertanding dalam PRU tersebut dilantik menjadi menteri.

Najib gagal membersihkan kabinetnya kerana bilangan ahli parlimen bukan sahaja dari UMNO malahan juga dari parti-parti komponen BN yang bersih amat berkurangan. Inilah masalah besar yang dihadapi oleh UMNO/BN. Masalah rasuah dalam UMNO terutamanya, sukar dibendung kerana semua lapisan pemimpin dalam parti itu tidak serius menangani malah kelihatan menyokongnya apabila tiada sesiapa yang mengambil tindakan keras terhadap amalan itu. Dari sudut yang lain, perasuah dibenarkan memegang jawatan Ketua Pemuda UMNO dan Ketua Menteri Melaka. Rasuah pasti menjadi-jadi dalam UMNO/BN kerana mereka tidak diusik oleh SPRM.

Memburukkan lagi keadaan, pimpinan UMNO termasuk Isa yang menjadi calon PRK Bagan Pinang seperti mahu bermain-main dengan istilah. Bagi mereka, sabit kesalahan politik wang hanya bercanggah dengan kod etika pemilihan parti tetapi tiada kena-mengena dengan jenayah rasuah. SPRM pula senyap seribu bahasa walaupun Ketua Pesuruhjayanya, Ahmad Said Hamdan pernah menegaskan bahawa amalan membeli dan menjual undi yang disebut politik wang itu sebenarnya rasuah.

Isa digantung keahliannya dalam UMNO pada 24 Jun 2005 lalu. Akhbar melaporkan, beliau didapati bersalah kerana terlibat dalam politik wang.Hari ini, Najib dilihat menyanggah pandangan Dr. Mahathir itu. Kenyataan beliau dilihat menimpakan tamparan yang hebat kepada pendirian Dr. Mahathir yang menekankan pimilihan calon yang bebas politik wang.

Dari Paris, Bernama melaporkan Najib menegaskan bahawa Isa hanya melakukan kesalahan teknikal parti dan bukan kesalahan daripada segi undang-undang negara. Penegasan ini mengesahkan bahawa UMNO mengamalkan sikap double standard. Undang-undang dalam kalangan UMNO lain dan undang-undang untuk orang di luar UMNO lain. Sudah tentulah pegangan ini amat berbahaya.

Whitewashing atau pembersihan yang dibuat sendiri oleh Najib ke atas Isa itu bukan sahaja menghantar kelegaan yang membelai keinginan dan cita-cita belas Menteri Besar Negeri Sembilan itu untuk kembali berpencak dalam arus perdana politik UMNO dan BN, malah sekali gus menyimbah sinar harapan baru kepada semua penagih politik wang dalam UMNO.

Rakyat tidak dapat menerima pemimpin yang tidak bersih. Kualiti barisan kepimpinan yang kotor amat membimbangkan mereka. Apatah lagi PM pun pernah dituduh mengamalkan rasuah oleh ahli UMNO sendiri tetapi tidak pernah disiasat. Oleh sebab itu, kecurigaan mereka terhadap pemimpin UMNO/BN tidak dapat dikikis.

KREDIBILITI

Kewujudan pemimpin yang tidak bersih dan tidak berkualiti menandakan parti yang dianggotai oleh mereka tiada kredibiliti. Ada kredibilitikah pemimpin yang mengemukakan gagasan besar seperti 1 Malaysia tetapi tidak tahu mendefinisi dan memperincikannya? Ada kredibilitikah pemimpin yang tahu bercakap ikut sedap mulut sahaja? Ada kredibilitikah pemimpin yang menyokong tindakan perkauman seperti perarakan kepala lembu? Ada kredibilitikah MB yang gagal membina stesen bas tetapi memegang jawatan itu selama 22 tahun?

Tidak usahlah berbangga menjadi pemerintah selama 52 tahun, tetapi rakyat sudah tahu pelbagai kecurangan yang dilakukan terhadap bangsa sendiri. Bangsa sendiri hanya dapat 19% ekuiti melalui DEB gara-gara nepotisme dan kronisme serta berbagai-bagai tindakan keparat lagi. Rakyat yang berpendapatan di bawah RM 1,000.00 majoritinya orang Melayu. Entah berapa luas lagi Tanah Simpanan Melayu yang akan dirompak oleh UMNO atas nama pembangunan? Orang Melayu masih macam itu juga. Bila ada PRK dapatlah kain batik, telekung, dan seratus dua.

Rakyat resah dan gelisah dengan kewujudan pemimpin seperti ini. Sesebuah negara tidak akan maju jika diterajui pemimpin yang tiada kualiti dan kredibiliti.

INTEGRITI

Kejujuran dan ketelusan merupakan ciri-ciri penting yang perlu dimiliki oleh pemimpin. Pemimpin UMNO tidak jujur apabila melaksanakan projek untuk rakyat. Jika mereka jujur, tiadalah bangunan yang runtuh, tiadalah bumbung masjid yang runtuh, tiadalah menara telekomunikasi yang menyembah bumi, tiada kolam renang yang bocor sana sini, dan tiadalah makmal komputer yang tak senonoh pembinaannya.

Teluskah sebuah kerajaan yang mempergunakan polis, mahkamah, SPRM, SPR untuk terus berkuasa. Persoalan-persoalan ini menjadi perhatian rakyat ketika ini. Tidak kiralah mereka itu tua atau muda, tinggal di desa atau di bandar, masih belajar atau sudah bekerja, senang atau susah.

KESIMPULAN

UMNO tidak boleh dibiarkan bersenang lenang dengan pemujaan terhadap rasuah. UMNO tidak boleh dibiarkan bersuka ria dengan nepotisme dan kronisme. UMNO tidak boleh dibiarkan sesuka hati mendendangkan isu perkauman. UMNO tidak boleh dibiarkan melalak siang dan malam tentang membela Islam sedangkan hakikatnya PM sendiri pun menghina Islam.

Pengundi-pengundi Bagan Pinang mesti menghentikan semua ini. Setelah berjaya di Bagan Pinang, usaha ini akan diteruskan di PRK lain pula menurut ketentuan Allah Subhanahu wa Ta'ala. Insya Allah akan ada lagi PRK selepas ini. Manusia ialah hamba yang bukan sahaja lemah malah sering diuji.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan