Pengikut

Selasa, 24 Ogos 2010

Dasar Pemilikan Hartanah Baru Perlu Untuk Jamin Hak Rakyat Miliki Rumah

Kerajaan didesak mewujudkan Dasar Pemilikan Hartanah yang baru bagi mengawal lebihan pasaran yang kini dianggap menafikan hak rakyat kurang berkemampuan memiliki rumah dan hartanah.

Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusoff berkata dasar ekonomi pasaran yang diamalkan sekarang bersifat manipulatif serta menindas.

"Dasar ini memberi mudarat dan juga dilihat menindas rakyat dalam hak mereka berhubung pemilikan hartamah. Jika keadilan hendak dicapai, isu pemilikan rumah dan hartanah mestilah dijadikan keutamaan. Apatah lagi sekarang ini, isu yang berkait rapat adalah mengenai kualiti hidup rakyat," kata Yusmadi kepada Suara Keadilan.

Beliau menganggap kenyataan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) yang membidas komen Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua berhubung kuota Bumiputera dalam pembelian hartanah mewah bernilai RM500,000 ke atas sebagai agenda perkauman sempit.

"Kita perlu ada satu dasar yang lebih mampu memastikan hak asasi rakyat (pemilikan rumah) terjamin. Dasar hari ini hanya mampu untuk mengawal rancangan pembangunan, tetapi tiada ruang untuk mengawal harga. Dasar yang baru ini, mestilah tidak menutup ruang keusahawanan dan juga persaingan. Jadi satu dasar yang strategik perlu diwujudkan terutama memberi peluang kepada generasi baru untuk memiliki rumah," jelas beliau.

Ketika ditanya mengenai status kampung tradisi dan tanah adat Orang Asal, Yusmadi bersetuju kepada dasar untuk mengekalkannya sebagai salah satu daripada agenda ekonomi dan pembangunan yang terancang dan seimbang.

"Ini kerana agenda ekonomi kerajaan pusat sekarang, tidak menangani isu asas pembangunan, iaitu hak kepada pemilikan perumahan. Jika ia tidak ditangani melalui satu dasar baru, usaha pembangunan yang sedang dijalankan ini akan menjadi beban pada masa akan datang. Isu yang dijangka akan timbul selain daripada kemiskinan bandar adalah gejala sosial," ujarnya.

Yusmadi menjelaskan berdasarkan pengalaman beliau di Parlimen Balik Pulau, sejak tahun 1990an pembangunan perumahan begitu rancak di kawasan tersebut menyebabkan nilai hartanah dah perumahan meningkat sehingga mencecah RM1 juta.

Namun apa yang dibimbangkan, pembangunan tersebut seolah-olah tidak memberi manfaat, terutamanya penduduk tempatan dalam pemilikan perumahan.

Yusmadi menjelaskan masyarakat tempatan hanya menjadi penonton yang berkemungkinan terpaksa keluar berpindah ke kawasan lain, sekaligus akan mengubah karektor, tradisi dan kebudayaan kawasan tersebut.

"Perkara ini tidak boleh diperbetulkan secara berasingan tetapi memerlukan dasar yang menyeluruh melalui undang-undang dan mekanisme dalam kerangka ekonomi nasional. Ia perlu dilihat dari sisi hak asasi manusia untuk memiliki perumahan, kerana kajian ahli ekonomi membuktikan pertumbuhan ekonomi sesebuah negara akan meningkat, antara lain melalui penekanan kepada hak hartanah," jelas beliau lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan