
Janganlah kerana PICC tidak digunakan sepenuhnya kita mahu jadikan Parlimen baru kita. Lebih wajar, lebih bijak, lebih waras kita membesarkan bangunan Parlimen yang bersejarah itu. Kawasannya besar dan indah pula dengan alam sekitar yang menarik. Apakah kerajaan sekarang mahu menghapuskan semua legasi Tunku Abdul Rahman - Tun Razak?
Saya segar dan bersyukur membaca reaksi rakyat menentang bangunan Parlimen baru. Bangunan Parlimen sekarang penuh sejarah, antaranya meluluskan pembentukan Malaysia (1963), memisahkan Singapura dari Malaysia 9 Ogos 1965 sekali gus kata ramai orang mengeluarkan duri dalam daging; membincang dan meluluskan Dasar Ekonomi Baru (DEB), Ibu Pejabat Mageran (Majlis Gerakan Negara) semasa Tun Razak memerintah melalui dekree selepas peristiwa berdarah 13 Mei 1969. Bangunan ini menelan belanja hanya 18 juta dolar Malaysia waktu itu (1962). Sekarang rumah beberapa bekas menteri dan menteri besar berharga lebih dari itu. Dunia amat berubah, juga Malaysia dan pemimpin-pemimpinnya!
Dalam masa Melayu Baru dalam proses mencari ‘identiti diri’ menegakkan sejarah kita yang pendek itu amat terpenting kalau kita mahu menjadi satu bangsa berjiwa besar kita mesti memelihara dan menjunjung sejarah bangsa dan negara termasuk mengekalkan bangunan Parlimen yang diinspirasikan oleh Tunku dan Tun Razak.

Saya tahu benar tentang Dewan Tunku Abdul Rahman kerana saya melaporkan Sidang Parlimen sebagai wartawan Straits Times. Saya lebih kenal lagi dengan Parlimen sekarang, diantara 1962-1974 saya mengikut Tun Razak ke setiap sidang Parlimen (waktu itu bersidang 9 bulan tiap tahun) kecuali masa Mageran. Mula-mula sebagai Pegawai Khas (1962), lepas itu sebagai setiausaha politiknya (1963-1974); pada Ogos 1974 sebagai Ahli Parlimen dan timbalan menteri hingga ditahan oleh Ghazali Shafie – Hussin Onn di bawah akta ISA selama lima tahun (1976-81) selepas Tun Razak kembali ke rahmatullah secara mengejut pada 14 januari 1976.
Satu kenangan manis adalah pada 22 Februari 1969, Tun Razak telah memberi jamuan meraikan perkahwinan saya di Dewan Banquasi Parlimen. Jamuan perkahwinan pertama dan terakhir dibenarkan berlangsung di Parlimen!

Oleh - Tan Sri Abdullah Ahmad
Tiada ulasan:
Catat Ulasan