Pengikut

Jumaat, 23 April 2010

Sepinggan Dosa Berulam ‘Pahala’

Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Aktikel ini saya terima dari seorang sahabat, rasanya ia patut dikongsi agar dapat kita rununggi dan bermuhasabah diri kita agar apa yang ditulis tidak berlaku didalam kehidupan kita.

Terdiam saya membaca email saudari. Percaya atau tidak, kes seperti ini semakin menular di kalangan generasi saudari, sekurang-kurangnya pada apa yang sampai ke pengetahuan saya. Saya perlukan banyak masa untuk merenung dan berfikir, di manakah silapnya.

Antara kes sebelum ini, seorang muslimah berjubah dan bertudung labuh sangat mengasihi teman lelakinya. Jam 4 pagi, beliau menghantar sms mengingatkan teman lelakinya agar bangun bertahajjud… tetapi kemudian rahsianya terbongkar bahawa muslimah itu sebenarnya adalah ISTERI ORANG.

Semakin ramai siswa dan siswi cuba menjustifikasikan bahawa cinta mereka adalah suci kerana mereka ber’sms’ hal-hal iman dan amal, sedangkan yang terangsang bukanlah keinginan untuk beribadah, tetapi gelodak nafsu yang licik menipu.

Saya tak tahu nak start dari mana. Tetapi subjek utama dalam masalah ini adalah diri saudari sendiri. Bukan soal teman lelaki saudari, bukan soal apa yang Allah qadha dan qadarkan ke atas saudari, bukan bakal anak yang nanti terkesan oleh dosa yang sedang dilakukan hari ini. Semuanya adalah persoalan diri saudari sendiri. Sama ada saudari mahu mengubah keadaan ini atau tidak. Itu sahaja.

Jika saudari benar-benar mahu bertaubat, taubat dari belenggu dosa seperti ini harus disertakan dengan hijrah. Jika setiap kali bertemu dengan si dia mengingatkan saudari kepada dosa yang ‘manis’ itu, maka saudari mesti jujur dalam menilai. Apatah lagi ia bukan hanya soal perasaan. Ia adalah perasaan yang sudah direalisasikan oleh zina kecil sebelum Zina besar sebagaimana yang saudari jelaskan. Maka ia bukan lagi soal mainan perasaan. Kamu berdua saling menjadi punca maksiat kepada satu sama lain.

Jika hubungan ini diteruskan, saudari dan teman itu akan memikul kesannya di kemudian hari.

Rumahtangga yang dibina selepas banyak kemaksiatan dan keterlanjuran, akan dihukum oleh Allah dengan perasaan syak wasangka yang bakal menyelubungi perkahwinan itu. Masing-masing telah berjaya membuktikan bahawa Allah ‘telah kalah’ dalam perhubungan kamu (berdua)”.

Maka, di masa depan nanti, suami akan sentiasa berfikir, jika saudari berani melawan Allah bersamanya, apa lagi yang mampu menyekat saudari dari melakukan perkara yang sama dengan lelaki lain?. Saudari juga akan berfikir, jika dia pernah berani beberapa kali membelakangkan Allah dalam perhubungan ini bersama saudari, apa yang boleh menghalangnya dari melakukan perkara yang sama dengan perempuan lain?.

Inilah yang saya temui di sepanjang pengalaman hidup, bertemu dengan pasangan yang pernah berdosa sebelum berumahtangga. Amat berat hukuman Allah apabila sebuah rumahtangga dibina tanpa kepercayaan di antara satu sama lain. Ia adalah hukuman dunia sebelum hukuman Akhirat.

Jika saudari dan si dia masih bertarung dengan perasaan, maka saya boleh menasihati agar kamu saling berusaha untuk menjaga diri dan mempercepatkan perkahwinan. Tetapi saudari dan si dia sudah saling bersentuhan, maka sama ada segeralah berkahwin, jika berani berdepan dengan risiko itu (mudah-mudahan terhindar dengan taubat bersama yang benar-benar tulen) atau saling berhijrahlah kamu (berdua) dengan meninggalkan satu sama lain, sejauh mungkin. Mulakan hidup baru dan mohonlah petunjuk dari-Nya.

Saya bersimpati dengan gelora yang saudari hadapi tetapi saya enggan menghulurkan simpati itu andai ia menyebabkan saudari mendapat ketenangan kerana tidak ada sumber penyelesaian kepada konflik ini kecuali taubat dan hijrah.

Lelaki dan perempuan yang baik bukanlah yang memakai kosmetik Islam pada sms berbau Islam atau pakaian berwarna Islam, tetapi pada kekuatan menghalang diri dari saling mengotorkan pasangan dengan maksiat. Betulkan kembali penilaian saudari terhadap si dia yang saudari katakan ‘baik’.

Sesungguhnya cabaran selepas berkahwin adalah jauh lebih berat berbanding dengan sekadar cabaran mengelak dari zina sebelum kahwin. Jika ini pun gagal, muhasabahlah diri segera sebelum melangkah ke usia dewasa yang lebih mencabar itu.

Saya doakan saudari beroleh kekuatan dan petunjuk dari Allah untuk menyusun kembali kehidupan. Maaf andai bahasanya pahit, tetapi dalam pahit itu selalu ada penawarnya.
Tiada siapa yang mampu membantu saudari kecuali saudari sendiri sebagai tuan empunya badan dan kehidupan.

Salam dan doa dari saya.

P/s: saya harap jubah dan tudung labuh tidak diheret kepada perbincangan kita. sesungguhnya saya menyanjung tinggi muslimah yang berjubah dan bertudung labuh, khususnya pada hari-hari seperti sekarang yang ‘trend’ itu semakin susut dari amalan.

apa yang berlaku dalam contoh entry ini adalah peribadi yang terlibat dalam dakwah, terjebak dalam sepinggan dosa berulam pahala. sama ada berketayap atau rambut kilat, bertudung labuh atau ikan bawal cermin, focus saya kepada manusia, akal, hati dan nafsu
.

*Amir / DarkJustice

Tiada ulasan:

Catat Ulasan