Pengikut

Selasa, 9 Februari 2010

Anwar mahu kes Nizar dibawa ke ‘mahkamah rakyat’


Anwar di luar Kompleks Mahkhamah Kuala Lumpur.

Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau tidak terkejut dengan keputusan Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir kekal sebagai Menteri Besar Perak dalam kes yang dibawa Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin.

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) ini berkata apa yang penting ialah perkara itu perlu dirujuk ke “mahkamah rakyat” untuk membuat keputusan siapakah layak untuk memimpin negeri Perak.

Anwar berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Kompleks Mahkamah di sini di mana beliau sedang menghadapi kes perbicaraan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Ditanya apakah nasihat beliau kepada penyokong pakatan pembangkang terutamanya di Perak, beliau meminta mereka menggunakan masa yang ada untuk memperkemaskan jentera parti masing-masing dan menjelaskan isu-isu semasa kepada rakyat.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata parti itu kecewa dengan keputusan mahkamah itu yang disifatkan bercanggah dengan prinsip asas demokrasi iaitu kerajaan perlu dipilih oleh rakyat.

Beliau berkata mana-mana kerajaan yang mendapat mandat tidak melalui undi secara langsung adalah melanggar prinsip demokrasi kuasa rakyat.

Sehubungan itu, DAP mengulangi gesaan supaya Dewan Undangan Negeri Perak dibubarkan dan mengembalikan kuasa kepada rakyat dengan mengadakan pilihan raya negeri yang baru, katanya dalam kenyataan.

Panel lima hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff membuat keputusan sebulat suara bahawa Sultan Azlan Shah telah menggunakan bidang kuasa baginda untuk melantik Zambry bagi menggantikan Nizar daripada pakatan DAP-PAS-PKR setelah berpuas hati bahawa Nizar tidak lagi menikmati kelebihan undi dalam Dewan Undangan Negeri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan