Pengikut

Rabu, 27 Januari 2010

Mahkamah Tinggi Tetapkan 19 Mac Ini Untuk Mendengar Permohonan Khairy Ketepikan Penghakiman Ingkar Saman Fitnah Oleh Anwar !!

Mahkamah Tinggi menetapkan 19 Mac untuk mendengar permohonan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, untuk mengenepikan penghakiman ingkar yang diperoleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam saman fitnah. Penolong Pendaftar Kanan A Kaveetha menetapkan tarikh itu dalam kamar selepas berjumpa dengan peguam yang mewakili Anwar, Wan Anuar Shadat dan peguam yang mewakili Khairy, K Vasanthi. Pada 4 Disember, 2008, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Anwar bagi mengemukakan penghakiman ingkar terhadap Khairy apabila beliau gagal hadir di mahkamah selepas writ saman diserahkan kepadanya.

Khairy memfailkan permohonan pada 20 Februari, 2009 untuk mengenepikan perintah itu. Anwar, 63, memfailkan saman itu pada 7 September, 2007 mendakwa Khairy, yang ketika itu Naib Ketua Pemuda Umno, telah memfitnahnya pada Ogos 2007 pada satu majlis politik di Kuala Kangsar, Perak. Anwar yang juga penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), menyatakan kenyataan memfitnah yang dibuat oleh Khairy telah disiarkan oleh media cetak dan elektronik di negara ini pada 3 Ogos, 2007. Beliau mendakwa kenyataan Khairy itu menggambarkan yang beliau seorang ahli politik yang tidak boleh dipercayai oleh orang Melayu, yang tidak mementingkan perjuangan orang Melayu dan hak mereka, dan bahawa beliau sanggup mengkhianati perjuangan dan hak orang Melayu semata-mata untuk mendapatkan sokongan bukan Melayu di negara ini.

Beliau juga berkata, Khairy telah membuat kenyataan itu untuk memberi gambaran yang beliau (Anwar) adalah ejen politik kepada Amerika Syarikat dan Yahudi, dan juga bertujuan memusnahkan kerjaya politiknya. Beliau mendakwa Khairy mempunyai niat jahat apabila mengeluarkan kenyataan itu yang semuanya adalah bohong, tidak berasas dan tidak benar. Selain memohon ganti rugi am, teruk dan teladan serta faedah lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah, Anwar juga memohon injunksi untuk menghalang Khairy, atau ejennya daripada mengulangi kenyataan.


p/s: Terkadang kita naik hairan dengan tindakan Khairy yang cuba mengenepikan saman fitnah yang dibuat oleh Anwar terhadap dirinya itu. Jika beliau benar-benar anak jantan dan yakin akan kebenaran segala apa yang diucapkan itu, maka kenapa beliau harus takut serta gusar berhadapan dengan Anwar di mahkamah. Ternyata kini, mereka semua mula tidak yakin akan kekuatan diri sendiri.

Samalah seperti pendedahan Ezam Md Noor tentang kotak rasuah, wang RM3 billion serta aset jutaan ringgit yang dimilik oleh Anwar. Sehingga ke hari ini, mereka masih terkial-kial mencari bukti semua itu. Akhirnya, kes liwat juga yang digunakan sebagai senjata untuk menjatuh serta mengaibkan Anwar. Walhal, rakyat Malaysia keseluruhannya sudah tidak percaya lagi sandiwara politik UMNO ini sejak Anwar didapati tidak bersalah dalam kes liwat I dulu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan