Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sepanjang tahun 2009 menyaksikan rakyat di negara ini menerima kesan buruk akibat krisis kewangan yang melanda dunia.
Katanya, episod itu menyedarkan kita untuk menilai dan merenung setiap kesalahan dan kecuaian, bukan sahaja oleh mereka yang berada di Wall Street atau tempat lain, malahan juga untuk bermuhasabah kesilapan serta kecuaian kita sendiri.
“Ini mengingatkan saya kepada karya Charles Dickens yang terkenal,A Christmas Carol. Watak Ebenezer Scrooge yang tamak dan sering menindas pekerjanya dikunjungi Ghost of Christmas Past, Ghost of Christmas Present dan Ghost of Christmas Yet To Come selepas tujuh tahun kematian rakan kongsinya,” katanya.
Anwar berkata demikian pada perutusan Hari Natal dan Selamat tahun Baru yang dipetik dari laman blog beliau, semalam
Beliau yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh berkata, karya Dickens itu sewajarnya menjadi peringatan bahawa ketamakan, pemborosan dan penindasan hanya membawa keburukan.
“Perubahan tidaklah mustahil. Scrooge yang tamak haloba itu pada pengakhiran novel tersebut berubah menjadi seorang yang berperikemanusiaan dan sanggup untuk membetulkan kesalahannya,” katanya.
Beliau berkata, tinggal beberapa hari sahaja lagi, maka tahun 2009 akan melabuhkan tirainya menandakan permulaan bagi tahun 2010.
“Adalah menjadi kebiasaan, menjelangnya tahun yang baru, kita akan memperbaharui tekad dan keazaman demi mencapai matlamat yang disasar serta dicita-citakan. Namun, cita-cita dan keazaman itu disusuli dengan tindakan bagi menyempurnakan tekad itu.
“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Menyambut Hari Natal kepada seluruh penganut agama Kristian dan Selamat Tahun Baru kepada rakyat Malaysia,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan