Bagai sudah dijangka, ternyata sungguh mengejutkan bilamana Mahkamah Rayuan baru-baru ini membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintah pihak pendakwa dalam kes tersebut menyerahkan bahan bukti kepada Penasihat PKR, Anwar Ibrahim.
Bahan bukti itu amatlah penting untuk peguam Anwar membuat pembelaan terhadap kes yang sedang dihadapinya. Soalnya sekarang, kenapa tiba-tiba Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan tersebut. Bukankah ini bukti wujudnya campurtangan pihak tertentu dalam kes beliau sebenarnya. Jika beginilah keadaannya, bagaimanakah seorang yang tertuduh ingin membela dirinya?. Sedangkan dalam masa yang sama pihak yang menuduh telah siap sedia dengan berbagai "bukti rekaan" yang sengaja dibuat untuk memastikan beliau didapati bersalah dalam kes ini.
Tambah malang lagi bila dipercayai, bukti-bukti kes yang kini diperolehi oleh peguam Saiful adalah dihasilkan dengan kerjasama pihak polis sendiri. Ini bermakna kemenangan sudah pasti akan berpihak kepada Saiful Bukhari Azlan nanti. Apa tidaknya, mereka diarahkan menyiasat untuk mewujudkan bukti-bukti kukuh agar Anwar Ibrahim didapati bersalah dalam kes ini. Ia amat berbahaya sebenarnya, lantaran itulah selepas Mahkamah Tinggi mengarahkan sebahagian bahan bukti itu diserahkan kepada Anwar maka tiba-tiba Mahkamah Rayuan pula menghalang dan membatalkan keputusan tersebut.
Bukankah ini bermakna memang wujud konspirasi yang jelas untuk menjatuhkan Anwar itu sendiri. Sedangkan dalam masa yang sama Saiful akan dilihat "mangsa" yang memang benar-benar teraniaya dalam kes ini. Segala laporan perubatan hospital akan dinafikan, dan kemungkinan besar laporan baru akan disediakan oleh pihak terbabit. Inilah masalah besar yang menghantui rakyat sebenarnya. Keadilan dan undang-undang kini menjadi bahan mainan pihak-pihak yang berkuasa untuk terus kekal berkuasa.
Dalam pada itu, Anwar Ibrahim sendiri dilihat amat kecewa dengan keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Rayuan tersebut. Dalam blog peribadinya, Anwar berkata "Nah sudah terang lagi bersuluh kepada kita, siapa sebenarnya yang melengah-lengahkan proses perundangan dan pembicaraan. "Mengapa gentar untuk membenarkan pasukan pembela saya memeriksa bahan bukti dan rakaman video litar? "Barangkali takut muslihat jahat didedahkan; pecah tembelang membusuk dan memualkan". Anwar juga melahirkan harapan agar perbicaraan kes beliau itu dapat berjalan lancar mengikut lunas perundangan.
Beliau tidak mahu proses perundangan tersebut dihalang dan dicampurtangan pihak pemerintah. "Jangan halang proses perundangan yang sebenarnya, biarkan ianya berlangsung tanpa dicampuri dan digugat pemerintah," katanya. Kelmarin pasukan peguam pembela Anwar sekali lagi dihalang dari mendapatkan bahan bukti setelah keputusan mahkamah rayuan didakwa menyebelahi rayuan pihak pendakwa.
Kesemua bahan bukti tersebut merupakan bahagian penting untuk pembelaan Anwar dan hak untuk mendapatkannya juga turut dijamin undang-undang. Pada 16 Julai lalu, Mahkamah Tinggi mengarahkan pihak pendakwa menyerahkan bahan bukti itu, termasuk rakaman video dan laporan perubatan kepada tertuduh.
Pihak pendakwa juga diperintahkan supaya membenarkan peguam Anwar memeriksa rakaman CCTV yang didakwa tempat kejadian, bersama-sama dengan kenyataan Saiful yang mendakwa sebagai mangsa, dan saksi-saksi lain serta nota doktor. Mahkamah Tinggi juga mengarahkan supaya laporan perubatan Saiful dari Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Pusrawi serta bahan bukti yang lain, yang diperlukan untuk tujuan pembelaan, diserahkan kepada Anwar. Apakah ada keadilan buat Anwar ?
p/s:-Ramai yang melihat, keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu jelas sekali mengulangi apa yang terjadi kepada Menteri Besar Perak yang sah Datuk Seri Nizar Jamaluddin dulu.
Biarpun Mahkamah Tinggi telah memutuskan beliau adalah MB yang sah, namun keputusan Mahkamah Rayuan akhirnya memihak kepada Zambry Kadir. Keputusan itu pula penuh dengan keraguan, bila ia dibuat tanpa merujuk kepada kertas keputusan Mahkamah Tinggi dan dalam keadaan yang tergesa-gesa.
Maka itulah perkara yang sama terjadi kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sekarang. Jika Nizar kehilangan kuasa di Perak, maka tidak mustahil Anwar juga akan kehilangan jawatannya dalam masa terdekat ini. Segalanya berkemungkinan jika kita melihat kepada perjalanan kes ini sekarang, yang semakin bercelaru dan haru biru.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan