PMN mempunyai bukti terdapatnya campur tangan politik Umno BN yang diterajui Najib untuk melewatkan tarikh pilihan raya kampus.
“Berdasarkan sumber kukuh, satu operasi khas telah ditubuhkan yang didalangi Pejabat Perdana Menteri yang dinamakan ‘Opss 2020′.
“Jika kita teliti, pola kalah-menang, sepanjang tahun 2007 hingga 2011, kita dapat saksikan graf penurunan sokongan mahasiswa terhadap calon pro Umno (Pro Aspirasi) dan peningkatan sokongan terhadap calon pro mahasiswa,” kata PMN dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut PMN, sekiranya trend itu kekal, ia akan menjadi mimpi ngeri kepada Umno BN dan Najib untuk berhadapan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU 13).
PMN berkata, Opss 2020 berperanan memastikan pilihan raya kampus kali ini tidak akan memberi sebarang kebangkitan moral kepada Pakatan Rakyat sebelum menjelang PRU 13.
Operasi itu juga katanya, akan digunakan sebagai indikator dan simulasi bagi mempengaruhi undi anak muda memandangkan tidak akan ada lagi pilihan raya kecil buat masa ini sehingga PRU 13 berlangsung.
Menurut PMN, baru-baru ini, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah mengadakan perbincangan dengan pentadbiran Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) agar tarikh pilihan raya bagi sesi 2012/2013 dilewatkan kepada September 2012.
“Hal ini tidak sepatutnya berlaku kerana Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) yang dipilih pada sesi lepas telah tamat tempoh berkhidmat pada Mac lalu,” katanya.
PMN berkata, Opps 2020 jelas menunjukkan Umno BN begitu terdesak berhadapan dengan PRU 13 khususnya bagi memenangi hati mahasiswa dan anak muda.
Katanya, Umno BN telah masuk ke kampus membunuh idealisma perjuangan mahasiswa dan anak muda yang semakin menolak politik kotor, lucah dan tidak matang yang dibawa mereka.
PMN berpendirian, tindakan melengah-lengahkan proses pemilihan Ahli Majlis Perwakilan Mahasiswa merupakan satu tindakan yang tidak demokrasi dan berniat jahat.
“Justeru, PMN bersama rakan-rakan front aktivis mahasiswa mengadakan siri perhimpunan aman pada Mac lalu di hadapan KPT untuk menyerahkan memorandum bagi menuntut agar pilihan raya kampus diadakan segera.
“Malangnya KPT hanya menghantar wakilnya menerima memorandum tuntutan mahasiswa di luar pintu sahaja. Ini menunjukkan Menterinya, Datuk Seri Khalid Nordin tidak serius dan gagal mempamerkan kredibiliti beliau dalam melayani isu-isu mahasiswa,” katanya. -KeadilanDaily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan