Pengikut

Selasa, 8 Mei 2012

Adakah apa yang kerajaan buat semua halal?

Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar mempersoalkan, adakah semua tindakan Umno BN termasuk menipu dalam pilihan raya dengan pelbagai kaedah halal dari segi hukum fatwa.

“Apakah fatwa menipu pilihan raya seperti menghalang rayuan mahkamah dibuat di atas kesahihan Daftar Pemilih (Akta Pilihanraya – Seksyen 9A), menghalang wakil-wakil parti dan bukan parti menyaksikan dan menyemak kad pengenalan pengundi dengan Daftar Pemilih pada hari mengundi (Akta Kesalahan Pilihanraya – Seksyen 26A (2) dan (3) adalah tidak haram?

“Persempadanan kawasan pilihan raya tidak adil melalui pindaan Artikel 116 Perlembagaan Persekutuan mengenai nisbah perbezaan jumlah pengundi tidak melebihi 15 peratus setiap kawasan, penyalahgunaan undi pos juga tidak haram?
“Akses media terhad untuk semua parti politik, pengunaan politik wang merasuah pengundi dan pengunaan pengundi hantu – Apakah semuanya halal?” soalnya kepada Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu turut mempersoalkan tindakan berlebihan pihak berkuasa menghalang orang ramai bersurai secara aman, menggunakan gas pemedih mata, pancutan air kimia dan pukulan cota.

“Apakah fatwa mengenai sebuah kerajaan yang dibentuk berdasarkan pilihan raya yang tidak bebas dan tidak adil. Adakah semua itu tidak haram?” soal beliau lagi.

Kelmarin, Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan haram bagi umat Islam menyertai perhimpunan atau demonstrasi, kononnya ia bertujuan tidak baik, melanggar undang-undang serta mencetuskan huru-hara.

Sedangkan, perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April lalu berlangsung aman sehinggalah polis melakukan provokasi.

“Adakah haram perhimpunan bagi menuntut pilihan raya bebas dan adil kerana ia memenuhi syarat bertujuan baik serta mendapat kelulusan di bawah peruntukan Akta Perhimpunan Aman,” tegas Izzah lagi.

Lebih 300,000 rakyat Malaysia membanjiri ibu negara bagi menyertai himpunan Duduk Bantah itu bertujuan menuntut pilihan raya adil dan bersih.

Dalam himpunan terbesar dalam sejarah itu, beratus-ratus peserta dikasari dan diperlaku seperti haiwan oleh pihak berkuasa atas arahan daripada kerajaan Umno BN. -KeadilanDaily

Tiada ulasan:

Catat Ulasan