Pengikut

Selasa, 1 Mei 2012

Letak jawatan atau sedia hadapi BERSIH 4.0

PAS mendesak Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dan timbalannya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar meletak jawatan segera jika tidak berdepan Bersih 4.0.

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu sewaktu pada penyerahan memorandum kepada SPR petang tadi menyatakan tempoh diberikan selam tiga puluh hari untuk mereka meletakkan jawatan.

"Kita mendesak agar kedua-dua mereka meletak jawatan segera, tempoh tiga puluh hari diberikan kepada mereka jika tidak kemungkinan Bersih 4.0 akan diadakan," jelasnya di lobi Pejabat SPR, petang tadi.

Tambahnya, segala keputusan akan dilakukan oleh pihak Jawatankuasa Pemandu Bersih dan setiap apa yang diputuskan, PAS akan menyokong sepenuhnya.

Menurutnya lagi, sistem pilihan raya adalah mekanisme yang utama untuk merealisasikan demokrasi di negara kita, ia merupakan asas kepada pemilihan dan penubuhan kerajaan.

"SPR perlu menjalankan tugas dan memantau pilihan rara secara tidak berpihak dan neutral, adalah amat penting bagi SPR menjadi bebas dan tidak berpihak supaya SPR dapat memenangi keyakinan orang awam terhadap peranan dan fungsinya.

"Malangnya walaupun selepas lebih lima dekad negara kita merdeka, perjalanan dan sistem pilihan raya di negara kita terus berjalan dengan tempang, tidak telus dan penuh keyakinan," katanya.

Malah lebih parah lagi, katanya kedua-duanya yang berada dalam SPR dilihat telah memihak dan menjadi alat serta 'kuda tunggangan' Umno-Barisan Nasional.

"SPR juga dilihat terus gagal menasihati kerajaan Umno-Barisan Nasional bagi mengemukakan penambahan kerusi Parlimen di negeri-negeri majoriti Melayu seperti di Terengganu, Kelantan dan Kedah.

"Begitu juga dengan persoalan akses media yang bebas dan adil, apabila melihat saban hari media milik kerajaan seperti RTM dan Bernama tidak langsung memberi liputan positif dan ruang kepada pemimpin pembangkang di negara ini," sambung beliau lagi.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Penggerak Mobilisasi Demokrasi (PAS) menegaskan bahawa berpegang kepada prinsip kepercayaan awam adalah syarat tonggak dalam kriteria perlantikan anggota SPR supaya bebas dan tidak memihak kepada sesiapa.

"Badan Pengerak Mobilisasi Demokrasi dengan ini menuntut dan mendesak kedua-dua mereka segera meletakkan jawatan secara bermaruah agar kita dapat mengembalikan kepercayaan rakyat Malaysia terhadap kewibawaan peranan dan fungsi intitusi SPR itu sendiri.

"Langkah ini adalah jalan terbaik untuk mereka menyelamatkan demokrasi di negara kita lebih-lebih lagi pada ketika Malaysia akan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) akan datang," tambah beliau lagi.

Sementara itu, memorandum yang diserahkan beliau diterima oleh Pegawai Perhubungan Awam SPR, Sabri Said.

Turut hadir waktu penyerahan memorandum tersebut adalah Ahli Parlimen Rantau Panjang Siti Zailah Muhd Yusoff, Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud dan Mohd Sany Hamzan dari Dewan Pemuda PAS Malaysia. -Keadilankini

Tiada ulasan:

Catat Ulasan