Pengikut

Ahad, 15 April 2012

Wanita mangsa bunuh dan bakar

KULIM – Dua lelaki yang mahu memikat burung terkejut besar apabila menemui mayat seorang wanita sedang terbakar di dalam parit sedalam dua meter di kawasan semak tepi Jalan Padang Meha berhampiran Taman Desa, Padang Serai di sini malam kelmarin

Mayat wanita lingkungan usia 20-an tanpa identiti itu ditemui dalam keadaan terlentang, tangan terikat serta badan berbalut kain oleh dua orang awam itu pada kira-kira pukul 10 malam.

Polis yang tiba di lokasi kejadian kira-kira setengah jam kemudian bertindak memadamkan api pada mayat yang telah rentung.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Zakaria Ahmad berkata, polis mendapat maklumat mengenai penemuan mayat itu daripada dua orang awam yang bertindak menghubungi Balai Polis Sungai Karangan.

“Kejadian itu masih baru memandangkan ketika anggota kami tiba, api masih lagi membakar mayat,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian semalam.

Hasil siasatan awal mendapati, mangsa dipercayai dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya dihumban ke dalam parit berhampiran ladang kelapa sawit itu untuk dibakar bagi menghapuskan bukti.

BEBERAPA orang anggota polis menjalankan siasatan di kawasan penemuan mayat seorang wanita yang dibakar dekat Kulim kelmarin.

“Setakat ini kami belum dapat mengenal pasti identiti mangsa kerana tiada dokumen pengenalan diri ditemui selain keadaan mayat juga sudah rentung,” ujarnya.

Katanya, mayat wanita itu kemudian dihantar ke Hospital Kulim untuk bedah siasat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan