Pengikut

Khamis, 19 April 2012

P.Pinang Naikkan Pembelian Hartanah Asing

Bagi melindungi kepentingan warganegara Malaysia, had minima pembelian hartanah oleh warga asing di Pulau Pinang akan dinaikan dari RM500 ribu kepada RM1 juta dengan nilai tertingginya RM2 juta.

Bagaimanapun, had minima bagi pembelian hartanah oleh penduduk tetap dikekalkan di RM500 ribu.

“Sebagai langkah pertama untuk melindungi kepentingan rakyat Malaysia, kerajaan negeri meningkatkan had minimum untuk pembelian asing semua hartanah daripada had sedia ada RM500 ribu kepada RM1 juta dengan had yang lebih tinggi sebanyak RM 2 juta untuk hartanah sahaja.

“Kerajaan negeri Pulau Pinang juga mengekalkan had sekarang RM500 ribu bagi Penduduk Tetap,” demikian menurut satu kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng hari ini.

Guan Eng juga memberitahu kerajaan negeri berusaha untuk menyediakan perumahan mampu milik untuk warganegara tempatan di Pulau Pinang.

“Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat (PR) Pulau Pinang akan menggariskan rangka kerja yang lengkap dan holistik menyediakan perumahan yang mampu dimiliki untuk penduduk Pulau Pinang yang melibatkan bukan sahaja kerajaan tetapi juga sektor swasta.

“Sebagai permulaan, sejumlah RM500 juta dan tanah percuma telah disediakan untuk tujuan ini dengan projek yang pertama sebanyak 12 ribu unit di bandar Satelit Baru Batu Kawan.

“Lebih banyak projek-projek mampu milik akan dicadangkan, termasuk di pulau Pulau Pinang,” menurut kenyataan itu lagi.

Selain isu melindungi kepentingan warga tempatan yang menjadi keutamaan Kerajaan Negeri, isu kesesakan jalan raya negeri itu turut mendapat perhatian.

“Terdapat 3 isu yang mendesak di Pulau Pinang yang memerlukan penyelesaian sekaligus menawarkan pembangunan mampan, salah satu darinya ialah kesesakan lalu lintas.

“Malangnya kerajaan negeri tidak dapat menyelesaikan masalah kesesakan ini dalam sekelip mata gara-gara kegagalan dasar dan sikap tidak peduli kepimpinan dan pengabaian sepanjang 18 tahun kerajaan negeri Barisan Nasional (BN) terdahulu.

“Kerajaan negeri melalui dua pihak berkuasa tempatan, Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) telah menggariskan tiga langkah untuk jangkamasa pendek, sederhana dan panjang bagi mengatasi masalah terbabit,” ujarnya lagi.

Menurut kenyataan itu lagi, langkah tersebut adalah mengadakan penyuraian trafik, menambah lampu isyarat, meluaskan akses pengangkutan dan membina lebuhraya empat lorong di kawasan yang dikenalpasti kerap berlaku kesesakan yang teruk.

Memetik kenyataan yang sama ketika menyentuh pelan pembangunan di kawasan cerun yang diluluskan kerajaan negeri Barisan Nasional terdahulu Guan Eng memberitahu kerajaan negeri hari ini hanya bertindak berdasarkan undang-undang

“Malangnya, kelulusan yang diberi oleh kerajaan negeri terdahulu masih terikat di sisi undang-undang yang berkuat kuasa dan prosedur daripada kelulusan tersebut biasanya tidak boleh dihentikan.

“Sebagai kerajaan yang berasaskan peraturan, kerajaan negeri sekarang bertindak berdasarkan undang-undang dan kelulusan berkenaan yang diberikan, walaupun ia adalah dari kerajaan negeri sebelumnya.

“Sekali lagi orang-orang yang cuba untuk menyalahkan kerajaan negeri untuk pembangunan mana-mana bukit-cerun perlu menjelaskan mengapa mereka memberi kelulusan di tempat pertama,” petik kenyataan itu.

Sumber - tvS

Tiada ulasan:

Catat Ulasan