Pengikut

Rabu, 25 April 2012

Najib ‘gabra’ hadapi teka-teki PRU13

TARIKH PRU13 kekal menjadi rahsia peribadi Perdana Menteri, Najib Razak, tanpa menjanjikan sama ada kesemua 22 syor penambahbaikan proses pilihan raya yang dicadangkan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) sempat dilaksanakan sebelum PRU13.

Najib menegaskan sebermulanya bahawa pilihan raya di Malaysia dikendalikan dengan bersih dan adil, malah menekankan, “We are all for clean and fair election.”

Beliau berkata BN enggan dilihat menang atas asas pilihan raya yang dimanipulasikan, sebaliknya sempat menyindir sesetengah wakil rakyat yang tidak mengadu masalah pengendalian pilihan raya apabila dirinya menang dalam pilihan raya. Najib mengulangi hujah bahawa pembangkang berjaya menawan lima negeri, dan PAS di Kelantan selama 22 tahun, sebagai bukti pilihan raya dijalankan dengan bersih dan adil.

Ketika ditanya sama ada 22 syor penambahbaikan yang dicadangkan dan dibentangkan PSC pada 3 April lalu itu akan dilaksanakan, beliau sekadar menjawab, “Apa-apa yang boleh dilakukan, misalnya (penggunaan) dakwat kekal, kita akan (laksanakan) sebelum pilihan raya.”

Najib Razak berkata sedemikian dalam satu wawancara di NTV7, pada jam 8.30 malam, bersama dua orang pengacaranya, Owen Yap Khiam Hong dan Lee Siad Huey.

Wawancara selama 90 minit ini dikendalikan dalam bahasa Melayu dan Inggeris, sambil diterjemahkan kepada bahasa Mandarin oleh kedua-dua orang pengacara. Ini kali pertama untuk PM Malaysia tampil dalam rancangan wawancara di stesen televisyen berbahasa Cina.

Pada 22 Mac yang lalu, Najib tampil ditemuramah di Stesen Radio 98.8.

Sebelum wawancara berakhir, pengacara Lee Siad Huey sekali lagi mencuba untuk mendapatkan “bayangan” daripada PM berhubung tarikh PRU13, apabila menyebut bahawa rata-rata membaca keputusannya untuk merangkap jawatan Menteri Wanita, Keluarga dan Kemasyarakatan tanpa melantik menteri baru, sebagai isyarat PRU13 sudah hampir.

Najib sebaliknya bertanya kepada pengacara, apakah tarikh yang diharapkan? Sambil berseloroh pengacara Lee Siad Huey berkata bulan depan, dengan alasan ingin merancang “percutian”.

Malah, Lee menambah bahawa ramai ibu bapa yang masih ragu-ragu untuk merancang percutian keluarganya pada Jun 2012, kerana khuatir terlepas pilihan raya.

Najib sebaliknya mengulangi jenaka “resepi coca-cola”-nya, bahawa tarikh PRU13 ibarat resepi rahsia kepada BN, dan tidak akan didedahkan sehingga masa yang terbaik.

Ketika ditanya sama ada ibu bapa harus teruskan rancangan pelancongan mereka pada Jun ini, Najib berkata beliau tidak mampu untuk menghalang, sambil menambah mereka boleh melancong di kawasan yang berdekatan, seandainya takut bertembung dengan hari pengundian.

Bagaimanapun, pengacara tidak bertanya pendirian Najib dalam isu Perhimpunan Bersih 3.0 bersama Himpunan Hijau 3.0 yang bakal dijalankan pada 28 April 2012.

Sebelum itu, Najib menjawab beberapa isu yang mencungkil keprihatinan masyarakat Cina.
Tiada pengumuman baru, Najib sekadar mengulangi kenyataan yang dibuatnya sebelum ini.

Apabila ditanya pengacara, bahawa Presiden MCA, Chua Soi Lek dalam wawancara baru-baru ini mendakwa hasrat pengundi Cina sukar diramal, Najib mengulangi, dirinya mendapat sambutan yang semakin memberangsangkan, dengan interaksinya bersama masyarakat Cina.

Sumber - RM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan