Pengikut

Ahad, 29 April 2012

Brahim Ali harap Najib tidak takut bubar Dewan Rakyat

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Datuk Ibrahim Ali berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak perlu takut untuk membubar Dewan Rakyat selepas perhimpunan BERSIH 3.0 dijalankan semalam.

"Saya nak cadangkan kepada Najib, kerana suasana berlarutan seperti ini. Jadi, selepas transformasi yang telah dilakukan, Najib jangan takut.

"Saya percaya rakyat akan sokong dia. Jangan ragu-ragu bubarkan Dewan Rakyat sekarang. Biar rakyat tentukan mandat," katanya.
Beliau berkata demikian hari ini pada sidang media selepas merasmikan pehimpunan raja berdaulat kasih dijunjung di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur hari ini.


Seramai 100,000 orang menyertai perhimpunan BERSIH 3.0 di ibu kota Kuala Lumpur semalam untuk menuntut pilihan raya bersih dan adil dijalankan.
Mengulas perhimpunan itu, Ibrahim mendakwa rata-rata peserta perhimpunan tersebut dibayar oleh PKR negeri.

"Ada yang saya tanya selepas himpunan itu, sebahagian kata mereka diupah, dibayar. Mana ada orang nak datang sukarela, nak berlari tepi jalan kalau tak dibayar?

"Mungkin mereka ini dibiayai PKR Selangor, duit Kedah, Kelantan, Pulau Pinang atau duit yahudi," katanya lagi.

Berbeza dengan perhimpunannya yang dihadiri 400 orang hari ini, Ibrahim berkata peserta yang hadir tidak dibayar.

"Seperti hari ini, mana ada orang Umno datang. Mereka ini semua tidak dibayar. Datang sukarela. Kita badan yang bertindak secara bebas. Tidak ada duit.

"Jadi semalam ada yang kata sehingga 70, 80 ribu saya tak heran sebab (himpunan) anjuran parti politik. Di belakangnya ada pemimpin politik," katanya lagi.

Beliau turut mengambil peluang untuk menyerang pengerusi bersama BERSIH 2.0, Datuk S Ambiga yang disifatkannya sebagai "alat politik pembangkang."

Katanya lagi, Ambiga patut keluar daripada Malaysia sekiranya merasakan Malaysia sebuah negara "kotor."

"Ambiga ini hanya alat tetapi dibelakangnya ialah parti pembangkang... Saya nak beritahu kepada Ambiga. Kalau rasa negara ini tak baik, kotor, berambus dari negara ini. Ambiga boleh berambus," katanya.

Turut hadir pada himpunan tersebut ialah Pengerusi NGO Jalur Tiga (JATI), Datuk Hasan Ali dan peneraju Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (TIBAI), Muhammad Zahid Md Arip.  - Malaysiakini

Tiada ulasan:

Catat Ulasan