Pengikut

Jumaat, 17 Februari 2012

Isu Israel: PAS harap Anwar terima sebagai teguran

Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat Nasrudin Hasan Tantawi menafikan wujudnya pergeseran antara PAS dan PKR dalam isu keselamatan Israel yang dibangkitkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Nasrudin berkata, gesaan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mahu Anwar menarik balik kenyataanya di Wall Street Journal itu perlu dilihat secara positif.

“Nik Aziz orang lama dalam politik dan sebagai pemimpin, tak salah jika beliau menegur (Anwar).

“Anggap saja ia satu nasihat orang tua-tua kepada pemimpin parti yang lain,” katanya kepada pemberita di pejabat agung PAS di sini hari ini.

Katanya, isu itu juga tidak patut dijadikan sebagai penyebab kepada pihak lain mengambil kesempatan untuk memecahbelahkan Pakatan Rakyat.

“Saling menegur antara pemimpin itu sebenarnya satu perkara yang sihat kerana kita tak mahu amalkan budaya ‘yes man’ dalam politik dan tunduk saja kepada arahan,” tegasnya.

Katanya, PAS tetap teguh dengan pendiriannya bahawa Israel adalah entiti yang haram yang dibentuk atas penindasannya terhadap warga Palestin.

“Menyokong Israel bererti kita telah mengkhianati perjuangan suci rakyat Palestin sejak sekian lama,” katanya.

Bidas SPR

Anwar (kanan) semalam menyifatkan kenyataan Nik Aziz itu sebagai teguran ‘sopan’ dan akan membuat pertemuan dalam masa terdekat.

Sementara itu, Nasrudin turut membidas mengenai penggunaan dakwat kekal yang berbeza warna yang diputuskan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Katanya, ada sesuatu yang tidak baik cuba dilakukan SPR kerana cara sedemikian mampu membuka banyak ruang manipulasi.

“Ada beberapa sumber daripada SPR negeri menyatakan mereka masih belum diberi taklimat penggunaan dakwat kekal.

“Usahkan warna (berlainan), botol dakwat pun mereka tak kenal jadi macamana mereka nak bezakan dakwat yang diiktiraf atau tak,” soalnya.

Sehubungan itu, beliau mahu SPR fokus kepada tuntutan asal bagi mengelakkan masalah yang sama terus berulang.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dilaporkan berkata SPR memutuskan untuk membezakan warna dakwat kekal bagi undian biasa dan undian awal bagi membantu kelancaran proses pengendalian pilihan raya yang telus dan bebas.

Sebanyak 230,000 botol dakwat kekal akan digunakan untuk 12.4 juta pengundi pada pilihan raya umum akan datang manakala 10,000 botol dakwat kekal pula adalah untuk pengundi awal termasuk anggota tentera dan polis serta keluarga mereka. -FMT

Tiada ulasan:

Catat Ulasan