Pengikut

Rabu, 22 Februari 2012

Anwar faham pendirian PAS takkan iktiraf Israel

Datuk Nik Aziz Nik Mat berkata, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar memahami pendirian PAS yang tidak mengiktiraf negara Israel.

Kata Menteri Besar Kelantan itu, pendirian PAS ialah menyokong perjuangan rakyat Palestin yang dihina di bumi sendiri.

“Terserahlah kepada Datuk Seri Anwar untuk menerima pendirian PAS ini,” kata Mursyidul Am PAS dalam kenyataan hari ini.

Anwar menemui Nik Aziz di Kuala Lumpur semalam bagi menjelaskan kenyataannya yang didakwa menyokong Israel sebagaimana dilaporkan akhbar Wall Street Journal Januari lalu.

Pada pertemuan itu, Nik Aziz ditemani oleh Ketua Penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Ia berlangsung dalam suasana harmoni dan Anwar telah menjelaskan kesemua isu yang telah berbangkit.

Majlis Syura Ulama

“Memahami penjelasan Anwar (kanan), di sini saya mengulangi pendirian PAS sebagaimana diputuskan oleh Majlis Syura Ulama iaitu PAS sekali-kali tidak mengiktiraf negara haram Israel.

“Bagi saya, pendirian PAS adalah wajar kerana kewujudan negara haram Israel merupakan suatu kezaliman, tanpa peri kemanusiaan dan menafikan hak umat Islam, malah merampas hak seluruh rakyat Palestin.

“Tambahan pula, tindakan penguasa Israel yang tidak habis-habis menzalimi dan membunuh rakyat Palestin, termasuk kanak-kanak, wanita dan orang tua.

“Justeru, adalah haram menerima kewujudan negara Israel yang haram,” tambah Nik Aziz.

Nik Aziz berkata, Anwar mungkin datang setelah mengetahui keputusan Majlis Syura Ulama PAS minggu lepas yang menggesa beliau menarik balik kenyataan dalam Wall Street Journal itu yang difahami sebagai menyokong Israel.

Majlis Syura Ulama’ juga menggesa, sekiranya kenyataan itu dilaporkan secara salah atau membawa maksud yang berbeza, maka beliau dinasihatkan agar mengambil tindakan undang-undang dengan menyaman Wall Street Journal bagi membersihkan nama. -FMT

Tiada ulasan:

Catat Ulasan