Pengikut

Selasa, 3 April 2012

Bila PM Syok Sendiri...

Bila PM Jadi Semberono Dan Syok Sendiri...

Semalam, Isnin malam, Perdana Menteri membentangkan laporan pencapaian program GTP dan ETP yang dirangkanya untuk rakyat sejak tiga tahun lalu. Beliau menerangkan kejayaan-kejayaan yang dicapai melalui program itu sama ada dalam bentuk jangka pendek, sederhana dan jangka panjang.

Melihat dari cara Najib berdiri, bercakap, menghuraikan satu demi satu kejayaan dan memberi markah kepada dirinya sendiri, jelas benar bahawa beliau syok sendiri pada malam itu. Dengan bercakap secara sehala kepada rakyat melalui siaran langsung ke seluruh negara, beliau seolah-olah hanya mahu rakyat menerima saja apa yang dibentangkan itu dan melupakan seketika realiti kehidupan sebenar yang sedang dilalui.

Lupakan seketika pelbagai kenaikan harga barang, minyak dan gula sebelum ini. Abaikan juga amaran ketika mula menjadi Perdana Menteri mahu menghapuskan subsidi barangan pengguna dengan alasan menghalang daya juang rakyat dan boleh menyebabkan negara bankrap seperti Greecee. Lupakan juga derita kerana ketiadaan peluang kerja, peluang perniagaan yang menipis dan kesukaran memulakan perniagaan berikutan amalan nepotisme, kronisme serta birokrasi yang makin mencengkam.

Sementera Najib berbangga dengan program BR1M bernilai RM500 kepada rakyat berpendapatan di bawah RM3000, bantuan RM100 untuk pelajar sekolah dan baucer buku RM200 untuk peplajar universiti, beliau seakan-akan cuba menutup hakikat perbelanjaan sambutan hari jadinya yang menelan kos hampir RM80 ribu untuk 100 tetamu (bermakna jamuan seorang tetamu RM800) dan kos jamuan majlis pertunangan anak perempuannya bernilai hampir RM400 ribu untuk 1000 tetamu (bermakna kos makan setiap tetamu ialah RM400).

Rakyat miskin diberi RM500 sebagai gula-gula pilihanraya tetapi jamuan mewah untuk kawan-kawan dan VIP menelan kos RM800 dan RM400 untuk sekali makan. Dalam masa yang sama hutang bekas Pengerusi MAS, Tajuddin Ramli dengan kerajaan berjumlah RM589 juta dilupuskan begitu sahaja. Bermakna wang rakyat telah diberikan kepada kroni dengan mudah dan jumlah yang berlipat kali ganda berbanding rakyat biasa.

Itu belum dikira lagi kos perbelanjaan rakyat berpendapatn rendah sama ada yang tinggal di kampung dan bandar yang sentiasa terhimpit dengan pelbagai kenaikan harga barang dan tekanan kos sara hidup sejak beliau mengurangkan pelbagai jenis subsidi dan menaikkan harga minyak beberapa kali sejak menjadi Perdana Menteri.

Hanya di ketika gendang pilihanraya makin kuat kedengaran sekarang kenaikan itu dibekukan sementara tetapi tiada jaminan ia tidak dinaikkan selepas pilihanraya nanti. Najib menahan kenaikan sebelum pilihanraya tetapi Pakatan Rakyat memberi jaminan pelbagai penurunan selepas pilihanraya.

Ketika Najib bercakap soal rasuah dan integriti, beliau tidak seharusnya lupa pelbagai jenis skandal sama ada yang dikaitkan dengannya atau yang berlaku sepanjang beliau menjadi Perdana Menteri. Skandal lembu NFC menyerlahkan kelemahan Najib untuk bertindak, hanya setelah pendedahan demi pendedahan dibuat barulah tindakan diambil. Itu pun tindakan paling minima.

Pelbagai jenis skandal lainnya seperti kapal selam, kehilangan enjin jet, bangunan runtuh, pelbagai jenis rasuah dan ketirisan yang didedahkan di media sama sekali tidak akan menyebabkan rakyat lupa tentang hakikat sebenar yang berlaku. Ia mungkin boleh dinyanyi dan didendang dengan alunan seruling bambu paling merdu tetapi sepanjang masa mendengar nyanyian dan alunan yang sama akan menimbulkan kebosanan juga akhirnya.

Najib juga merungkai tentang kadar jenayah yang menurun sebanyak 11.1 peratus tetapi jika kita menonton tv dan membaca akhbar setiap hari, cerita rompak, ragut, bunuh dan culik berlaku begitu menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini. Apakah itu melambangkan kadar jenayah yang menurun dan kehidupan rakyat yang makin sejahtera?

Setelah menghuraikan kejayaan demi kejayaan, Najib juga memberitahu bahawa kerajaan pimpinannya bukanlah kerajaan populis dan semberono tetapi dengan menghurai dan membanggakan hasil kerja sendiri, mengaku kejayaan sendiri dan memberi markah kepada hasil usaha sendiri, bukanlah itu lebih daripada populis?

Dengan menghuraikan hanya ceritera kejayaan tetapi menutup pelbagai hikayat skandal, pembaziran, pemborosan, rasuah dan ketirisan yang berlaku dalam kerajaan, tidaklah ia juga lebih daripada semberono? Atau mahu menyemberonokan rakyat? Jika benar bertanggungjawab jangan ada apa-apa yang disimpan di bawah karpet.

Di sebalik ceritera kejayaan yang tidak mungkin ditelan bulat-bulat oleh rakyat, kebimbangan Najib akhirnya terserlah apabila beliau memberi analogi kepada rakyat agar jangan menukar pemandu di tengah perjalanan. Soalnya apakah kalau pemandu itu tidak berhemah, cuai dan menyebabkan penumpang teramcam nyawanya seperti yang berlaku sekarang, mereka mahu terus menggunakan pemandu yang sama?

-

1 ulasan: