Pengikut

Ahad, 1 Januari 2012

Tindakan ganas polis terhadap mahasiswa bukti kerakusan BN

Nurul Izzah Anwar menyifatkan tindakan “luar batasan dan keterlaluan” polis terhadap aktivis mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) membuktikan kerakusan pentadbiran Najib menggunakan polis untuk mengekang hak dan kebebasan bersuara rakyat Malaysia.

Ini kerana selain bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) ini menegaskan ia juga bercanggah dengan Akta Perhimpunan Aman yang diwujudkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

“Tetapi amat malang kerana tindakan luar batasan dan keterlaluan pihak polis dan FRU dengan melakukan tangkapan terhadap mahasiswa dan akibat rempuhan polis, Presiden Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (Bebas) Muhammad Safwan Anang mengalami kecederaan,” kata Nurul Izzah (ambar) dalam satu kenyataan.

Beliau menegaskan tindakan diambil polis untuk menghuraikan demonstrasi aman menuntut kebebasan akademik sebagai tidak demokratik, bersifat “negara polis” dan mencemarkan kedatangan tahun baru.

“Ini memberikan mesej yang jelas kepada rakyat Malaysia dan umumnya bahawa kerakusan kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) menggunakan polis untuk mengekang hak dan kebebasan bersuara yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

“Ini juga bertentangan dengan Akta Perhimpunan Aman yang diumumkan oleh perdana menteri dan seterusnya diluluskan oleh Parlimen Malaysia baru-baru ini,” katanya.

Awal pagi tadi beberapa mahasiswa UPSI yang mengadakan demonstrasi aman menuntut kebebasan akademik telah ditahan polis berikutan ingkar arahan pihak berkuasa yang mengarahkan mereka bersurai.

Kumpulan mahasiswa ini juga mendakwa polis telah bertindak kasar dengan “memukul, menendang dan menumbuk” mereka, yang menyaksikan Muhammad Safwan dihantar ke Hospital Slim River kerana tidak sedarkan diri.

Difahamkan dianggarkan seramai 60 orang mahasiswa telah mengadakan demonstrasi di kampus itu bermula malam tadi bagi memprotes Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dan menuntut solidariti untuk Adam Adli Abdul Halim.

Adam Adli, 21, telah menjadi tajuk utama UPSI kerana menurunkan kain rentang Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di luar ibu pejabat Umno di Kuala Lumpur.

Tambah Nurul Izzah, demonstrasi dianjurkan mahasiswa itu bukan satu kesalahan sehingga polis perlu bertindak kasar kepada mereka.

“Saya menempelak tindakan polis terhadap tangkapan mahasiswa dan ini lebih menyedihkan apabila ada yang tercedera. Saya tekankan bahawa mahasiswa atau anak muda punyai hak menuntut kebebasan dan pemansuhan AUKU,” katanya. -TMI

Tiada ulasan:

Catat Ulasan