Dalam satu tulisan di blognya, Nasrudin (gambar) berkata beliau mahu membawa mesej kepada Umno-Barisan Nasional (BN) bahawa rakyat menolak pemerintahan yang merosakkan maruah seseorang sebelum dibuktikan bersalah di mahkamah.
“Jika saya turun perhimpunan 901 kelak, saya bukan turun untuk Anwar dan (bukan) kerana Anwar. Tetapi kerana saya mahu membawa mesej kepada kerajaan Umno dan BN bahawa rakyat menolak cara pemerintahan dan pentadbiran yang merosakan maruah orang sebelum ia dibuktikan bersalah,” katanya di blognya.
Tegas beliau: “Menghukumnya sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman ke atasnya adalah satu kezaliman dan penganiayaan.”
Timbalan Presiden PKR Azmin Ali pada Selasa lalu mengumumkan bahawa Pakatan Rakyat (PR) akan memastikan sejumlah 100,000 rakyat akan turut serta dalam perhimpunan tersebut bagi menunjukkan sokongan terhadap Anwar ketika Mahkamah Tinggi membuat keputusan Isnin ini berkaitan kes liwat keduanya.
Anwar, 64, dituduh telah melakukan liwat terhadap Mohd Saiful Bukhari Azlan di sebuah kondominium di Damansara Heights pada Jun 2008, beberapa bulan sebelum kembali dan memenangi kerusi Parlimen Permatang Pauh.
Ini merupakan kali kedua dirinya berdepan tuduhan liwat.
Tambah Nasrudin, jika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak turut menjadi mangsa kezaliman dan penganiayaan tindakan sama perlu diambil oleh setiap rakyat untuk membela nasib pemimpin itu.
“Tidak baik membiarkan pemerintahan begini mengurus negara dan rakyatnya. Kebetulan hari ini insan yang menjadi mangsa hukuman sebelum hukuman mahkamah ini ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Jika mangsa itu adalah Datuk Seri Najib Razak sekalipun, kita wajib menentang kezaliman dan penganiayaan yang dilakukan,” katanya.
Sekiranya disabitkan kesalahan, Anwar akan dijatuhkan hukuman 20 tahun penjara, tetapi akan terlepas hukuman sebat kerana umurnya sudah melebihi 60 tahun.
Ini akan menamatkan karier politiknya dan memusnahkan peluangnya untuk menjadi perdana menteri. -TMI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan