Menurut seorang pembantu Datuk Seri Anwar Ibrahim, kejadian itu berlaku selepas tamatnya satu ceramah ketua umum PKR itu sempena pelancaran LANG-GAR 901 di Galeri Pejuang, Cherok Tok Kun Pulau Pinang yang juga adalah kampung halamannya.
Pengawal peribadi itu, Fayyadh Afiq Albakqry, mengiringi Wan Azizah beredar meredah melalui kesesakan orang ramai yang hadir di ceramah berkenaan pada kira-kira jam 10 malam apabila kejadian itu dikatakan berlaku.
Tujuan LANG-GAR 901 dilancarkan adalah untuk memberi peringatan kepada pihak kerajaan yang sejak dari tahun 1998 didakwa terlalu banyak melanggar peraturan dan norma perundangan, khususnya lama kes liwat II.
Fayyadh Afiq kemudiannya mengiringi Wan Azizah ke satu lagi ceramah di Parit Buntar, Perak tetapi dia mula berasa sakit dan akhirnya tidak sedarkan diri sewaktu dalam perjalanan.
Berikutan itu, Wan Azizah mengarahkan pemandunya berpatah balik menuju ke utara untuk membawa Fayyadh Afiq ke sebuah hospital di Seberang Jaya.
Menurut ketua Pemuda PKR Pulau Pinang, Syed Mikael Rizal Aidid, pada mulanya, Fayyadh Afiq berdarah selepas tangannya cedera terkena objek yang tajam, tetapi mereka memutuskan untuk meneruskan perjalanan ke Parit Buntar.
Bagaimanapun, katanya, selepas Fayyadh Afiq sakit, mereka mengesyaki dia mungkin diracun semasa serangan tersebut.
Berita mengenai serangan tersebut tersebar dengan cepat melalui twitter dengan beberapa individu mendakwa Fayyadh Afiq mungkin menghalang serangan terhadap Wan Azizah.
Sesetengah twitter mendakwa jantung Fayyadh Afiq berhenti berdenyut berikutan dakwaan serangan tersebut, tetapi para pemimpin PKR kemudian menulis melalui tweet menyatakan pengawal peribadi itu dalam keadaan stabil dan telah sedar semula.
Juga dilaporkan di twitter bahawa lebih daripada 100 penyokong PKR dan Pakatan Rakyat berada di hospital untuk mendoakan supaya Fayyadh Afiq pulih.
Wan Azizah adalah antara puluhan pemimpin PKR yang sedang menjelajah ke negara dalam siri ceramah umum menjelang keputusan perbicaraan kes liwat II Isnin ini.
Anwar pula berada di Kuala Terengganu menghadiri satu lagi ceramah umum di negeri itu ketika serangan tersebut dikatakan berlaku.
Sementara itu, portal Suara Keadilan melaporkan Timbalan Ketua Penerangan PKR, Najwan Halimi pula berkata, keadaan Fayyad Afiq stabil dan sudah sedarkan diri tetapi tangan kiri sehingga bahu dilapor kebas dan gagal digerakkan.
“Doktor sedang membuat ujian darah dan air kencing untuk pastikan jenis racun,” katanya melalui twitter selepas menghubungi Wan Azizah tidak lama selepas kejadian.
Fayyadh Afiq juga merupakan pengawal peribadi yang sama yang didakwa terkena tembakan kanister gas pemedih mata ketika melindungi Anwar semasa perhimpunan BERSIH 2.0.
Fayyadh Afiq dijadual menghadiri pendengaran Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mengenai dakwaan kekerasan pihak polis semasa perhimpunan BERSIH pada 9 Julai. -PD
Tiada ulasan:
Catat Ulasan