Pengikut

Ahad, 8 Januari 2012

Hassan Ali dipecat

Pas pusat memecat pemimpin kontroversi Datuk Dr Hasan Mohd Ali sebagai ahli parti itu berkuat kuasa serta-merta - kira-kira sebulan selepas beliau mempertikaikan dasar perjuangan parti Islam itu.

Perkara itu diputuskan oleh parti itu yang mengadakan mesyuarat bulanan jawatankuasa kerja pusat hari ini.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan sebentar tadi, Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, setelah mempertimbangkan segala pandangan yang diberikan oleh ahli-ahli jawatankuasa kerja pusat dalam mesyuarat yang diadakan hari ini, pihaknya telah membuat keputusan berdasarkan Fasal 82(9) iaitu memecat "keahlian Hasan sebagai ahli Pas berkuat kuasa serta merta."

"Keputusan ini dibuat berdasarkan kepada tindakan-tindakan Datuk Hasan Ali yang menyalahi dan merugikan kepentingan parti sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Pas," kata parti itu lagi.

Keputusan ini juga diambil tiga hari selepas Hasan, Exco Kerajaan Negeri Selangor, sekali lagi dilihat memberi pandangan membelakangi parti dengan meminta penyokong dan pengikut Pakatan Rakyat tidak menyertai perhimpunan 901 di ibu negara, esok.

Semalam, pemimpin-pemimpin kanan Pas memberitahu Sinar Harian Online bahaw pihaknya akan melihat semula kes melibatkan Hasan pada mesyuarat bulanan jawatankuasa kerja pusat parti hari ini ekoran kenyataan terbaru Exco Kerajaan Negeri Selangor itu Khamis lalu.

Hasan, bekas Pesuruhjaya Pas Selangor dilihat telah mengeluarkan kenyataan 'melawan arus' apabila meminta pengikut dan penyokong Pakatan Rakyat (PR) tidak menyertai perhimpunan 901. -SinarHarian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan