"Saya berharap Ustaz Hadi menarik balik hasrat tersebut kerana beliau penting buat Pas dan Pakatan Rakyat (PR)," kata Anwar dipetik Harakahdaily hari ini.
Beliau yang juga Ketua Umum PKR berkata, peranan Presiden Pas itu, yang berusia 65 tahun, kritikal buat pemuafakatan PR, yang dibentuk secara formal selepas pilihan raya umum 2008.
Anwar juga berkata beliau akan mengadakan pertemuan dengan Abdul Hadi, yang mengumumkan pendirian mengejutkan itu kepada Sinar Harian dalam satu temu bual, kelmarin.
"Saya akan bertemu dengan Ustaz Hadi dalam waktu terdekat demi memastikan Ustaz Hadi kekal bersama pimpinan Pakatan Rakyat," tegas Anwar.
Dalam pertemuan dengan Sinar Harian, Abdul Hadi membayangkan kemungkinan tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), yang dijangka akan diadakan dalam waktu terdekat.
Menurutnya, keputusan itu dibuat berdasarkan kepada khidmatnya yang disifatkan sudah terlalu lama menyandang jawatan sebagai Yang Berhormat.
“Sudah lebih 30 tahun saya bergelar Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) iaitu bermula pada 1982 dan sudah berbelas tahun sebagai Ahli Parlimen,” katanya.
Abdul Hadi berkata, sekiranya tidak bertanding mana-mana kerusi, beliau boleh bergerak ke seluruh negara untuk memantapkan parti.
Bagaimanapun, Adun Rhu dan Ahli Parlimen Marang ini menawarkan bertanding satu kerusi sahaja sekiranya dipilih sebagai calon dalam PRU13.
Abdul Hadi mengetuai Pas sejak 2002 dan beliau mempertahankan jawatan presiden tanpa cabaran pada pemilihan Jun lalu.-SH
Tiada ulasan:
Catat Ulasan