Dalam kenyataannya, beliau juga menyalahkan Anwar dan pihak-pihak tertentu yang ‘menyalahgunakan’ proses mahkamah terhadap penjawat awam yang menyebabkan dana dan wang rakyat terpaksa digunakan bagi melayan proses mahkamah.
Pada Jun 2011 juga Jamil Khir menafikan penggunaan wang zakat untuk membayar kos guaman ini.
Malangnya Yamin tidak menyebut tentang ‘pendahuluan’ RM63,650 daripada wang zakat yang telah disahkan oleh Ketua Audit Negara pada November 2011.
Yamin juga harus sedar bahawa apabila seorang itu dizalimi, beliau mempunyai hak yang diiktiraf di dalam syarak dan sistem Perlembagaan kita untuk mempertahankan diri mereka.
Saya berharap Jamil Khir sebagai Menteri yang bertanggungjawab ke atas hal ehwal agama Islam Malaysia dapat segera tampil ke hadapan dan bukan menyorok di belakang pegawai kerajaan bagi menjawab isu ini.
Pada Jun lalu juga bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Md Hashim Yahya telah menegaskan sebarang salahguna wang zakat yang disalurkan selain daripada asnaf yang lapan adalah kesalahan dan dosa besar.
Sekurang-kurangnya apabila isu ini mula-mula timbul peguam Zainul Rijal Talha dan Amir terbuka dalam bertanya tentang pandangan Mufti Wilayah Persekutuan.
Persoalannya, adakah pandangan tersebut diberikan dan sekiranya ya,apakah pandangan beliau? Yang nyatanya Ketua Audit mengesahkan wang zakat dibayar kepada peguam sebelum dipulangkan hampir enam bulan kemudian pada Disember 2010.
Juga mengapa wujud dwi-standard dengan kes amil zakat di Johor Redzuan Mohd Said yang menyalahgunakan RM19,510 dan memulangkannya tetapi dipenjarakan empat tahun dan dihukum tiga kali sebatan tahun ini?
Umat Islam yang menyumbang berbilion ringgit wang zakat setiap tahun di seluruh negara tidak mahu timbul sebarang keraguan terhadap pengurusan wang zakat. -RM
Baca dibawah ini kenyataan Setiausaha MAIWP, Datuk Che Mat Che Ali.
Tidak guna wang zakat: MAIWP
SHAH ALAM - Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) membidas tindakan pembangkang kerana membuat tohmahan mengenai pembiayaan wang zakat berjumlah RM63,650 bagi tujuan pembayaran kos guaman.
Setiausahanya, Datuk Che Mat Che Ali berkata, kos yang melibatkan dirinya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan, Shamsuddin Hussain yang membabitkan pertika-ian di mahkamah sebenarnya tidak melibatkan penggunaan wang zakat.
Beliau berkata, bayaran untuk kos guaman bagi kes tuntutan qazaf Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim diambil daripada peruntukan kerajaan yang disalurkan kepada badan itu setiap tahun dan pendapatan MAIWP melalui Sumber Am seperti sewaan, dividen, aset dan lain-lain perolehan.
“Pada tahun ini saja, kerajaan menyalurkan setengah juta dan tahun lalu, RM750,000 sejak 1993 lagi. Lebihan wang itu akan dibawa ke tahun depan untuk tujuan yang sama.
“Apabila pembangkang menuduh kami menggunakan wang zakat, mereka sebenarnya membuat fitnah dan melakukan tohmahan tidak berasas. Kita (MAIWP) tidak sentuh pun wang zakat yang dikutip daripada rakyat Malaysia untuk membantu fakir miskin atau asnaf dan itu sudah jelas,” katanya.
Sebelum ini, Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad mendakwa Jamil Khir, Che Mat dan Shamsuddin menggunakan wang zakat MAIWP untuk tujuan bayaran kos guaman dan tindakan itu menyalahgunakan proses mahkamah terhadap penjawat awam.
Mengulas mengenai kenyataan bekas Mufti yang menegaskan sebarang salah guna wang zakat selain daripada untuk asnaf adalah salah dan berdosa, beliau yang juga Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan berkata, perkara itu benar, namun beliau (bekas Mufti itu) tidak mengetahui perkara yang sebenarnya, sebaliknya terus terjerat dengan fitnah memburuk-burukkan orang lain.
Menurutnya, soal penyelewengan tidak timbul kerana Laporan Audit Negara turut mengiktiraf perjalanan badan berkanun kerajaan ini dan memberi empat bintang kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) serta Sijil Bersih buat MAIWP.
Che Mat berkata, untuk menjawab segala tohmahan pembangkang, Jamil Khir akan membuat kenyataan pada Sabtu ini setelah pulang dari luar negara.
“Mungkin beliau akan ambil tindakan undang-undang, mungkin tidak, untuk membersihkan namanya. Kena tanya beliau (Jamil Khir). Saya tidak boleh mewakilinya dan mengulas perkara ini,” katanya. -SinarHarian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan