Pengikut

Khamis, 15 Disember 2011

Pas tidak halang Hasan keluar parti?

Pas tidak menghalang sekiranya Exco Hal Ehwal Islam, Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali untuk menyertai mana-mana parti politik di negara ini.

Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar berkata, itu adalah kemahuan individu terbabit, malah beliau berhak untuk meninggalkan Pas dan menyertai parti lain.

Menurutnya, tiada sebarang halangan yang timbul, kerana Pas mengamalkan prinsip demokrasi dan apa yang diperkatakan oleh Hasan sebelum ini lebih bersifat peribadi.

"Pas bersikap terbuka, dan tidak mempunyai halangan untuk Hasan, sekiranya ingin meninggalkan parti ini, malah sebelum ini beberapa pemimpin dan ahli Pas telah berbuat demikian, kami (Pas) masih teguh untuk meneruskan perjuangan.

"Pas tidak akan memberontak atau meraih simpati jika ia berlaku, Hasan juga berhak untuk memberikan sebarang pandangan, sudah tentu beliau mempunyai pendapat sendiri, dan saya yakin apa yang diperkatakan oleh beliau bersifat peribadi, Pas mengamalkan demokrasi malah tidak menghalang sesiapa bersuara," katanya dalam sidang media di ibu pejabat Pas.

Terdahulu Hasan menegaskan bahawa beliau akan terus bersama dengan mana-mana organisasi atau parti yang memperjuangkan tiga prinsip iaitu agama Islam, bangsa Melayu dan Institusi Raja-raja.

Bekas Pesuruhjaya Pas Selangor itu menyatakan, beliau tidak menolak kemungkinan akan menyertai mana-mana parti yang memperjuang tiga prinsip itu termasuk Umno.

Mahfuz berkata, apa yang berlaku adalah senario biasa dalam arena politik, terutama membabitkan isu keluar dan masuk parti.

Beliau berkata, jika dilihat ia turut berlaku di dalam Umno dan Barisan Nasional (BN) tetapi parti itu masih meneruskan perjuangan, begitu juga Pas.

"Pas sebelum ini digambarkan sebagai parti yang bermasalah kerana ramai yang keluar parti sejak dahulu lagi, tetapi hakikatnya kami terus kukuh dan meneruskan agenda perjuangan," katanya.

Sementara itu Mahfuz berkata, Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang dilaksanakan mulai tahun adalah tindakan kerajaan untuk mengurangkan kakitangan dalam sektor awam.

Menurutnya, ini kerana penilaian dibuat berdasarkan laporan prestasi tahunan serta Pencapaian Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang dilaksanakan oleh ketua bagi jabatan tersebut.

"Ini akan memperlihatkan siapa kaki bodek pasti akan berada diatas, bermakna mereka akan dinaikkan gaji dan pangkat, tetapi perkara sebaliknya akan berlaku bagi mereka yang benar-benar menjalankan tanggungjawab mereka.

"Saya amat berharap agar kerajaan menilai semula sistem yang sedia ada sebelum memperkenalkan SBPA, kerana tanggungjawab utama kerajaan adalah menjaga kebajikan pekerja," katanya. -SinarHarian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan