Pengikut

Ahad, 4 Disember 2011

Muka baru, pro dan kontra untuk Najib

Perhimpunan agung Umno 2011 mendedahkan betapa parti pemerintah yang terbesar dan tertua sangat takut menghadapi pilihan raya umum ke 13.

Berulangkali Datuk Seri Najib Tun Razak dan pimpinan lain mahukan ahli bersatu padu dalam menghadapi pilihan raya yang dianggap penentu hidup mati Umno dan BN.

Serangan bertalu-talu terhadap pembangkang bagaimanapun, masih tidak mampu meredakan kebimbangan.

Dalam pada itu, pengumuman Najib untuk meletakkan lebih ramai muka baru boleh menimbulkan konflik baru dalam parti.

Pengumuman itu sudah tentunya menyebabkan wakil rakyat lama yang sudah bertahun-tahun menyandang gelaran YB menimbulkan gundah gelana di hati mereka.

Mahukah mereka melepaskan kerusi ketika para penyokongnya memuji sepanjang waktu? Apatah lagi dengan menjadi wakil rakyat sedikit sebanyak memberi kelebihan kepada mereka.

Gelaran YB

Barangkali seorang ketua bahagian boleh melepaskan gelaran YB itu tetapi bagaimana pula dengan para menteri? Bersediakah mereka berbuat demikian?

Jika usia mahu diambil kira Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan Tengku Razaleigh Hamzah nama paling teratas untuk `dihilangkan’ dari calon pilihan raya. Senarainya tentunya tidak berakhir di situ.

Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Abdul Ghani Othman, Tan Sri Isa Samad dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein serta Tun Abdullah Ahmad Badawi juga sudah terlalu lama dalam politik dan memegang pelbagai jawatan parti dan kerajaan.

Kalau dihitung lagi barangkali separuh wakil rakyat BN perlu digugurkan. Persoalannya juga bolehkah muka-muka baru boleh diterima rakyat seperti calon lama itu?

Jika perancangan Najib ini teruskan dalam pilihan raya umum ke 13 nanti, bukan mustahil sebahagian dari mereka akan merajuk.
Mustahilkah jika yang merajuk memboikot BN mempengaruhi penyokong kuat supaya tidak mengundi calon baru?

Pro dan kontra

Atau lebih teruk lagi menjadi calon bebas menentang parti sendiri. Dalam Umno, bekas pemimpin yang memboikot dan menentang parti sudah menjadi lumrah.

JadI untuk menggugurkan wakil rakyat lama ini penuh risiko.

Dengan Umno dan komponen BN lain yang masih bergolak, mengambil risiko sebegini boleh mengundang kehilangan Putrajaya.

Tetapi masih menyimpan pemimpin dan wakil rakyat yang sudah dibenci rakyat memang tindakan bodoh dan membunuh diri.

Ringkasnya menggantikan orang lama dengan muka baru ada pro dan kontranya. Silap langkah kuasa yang pegang sejak berdekad lalu terlepas ke tangan orang.

Lihat saja nanti adakah Umno dan BN benar-benar berani melawan arus. -FMT

Tiada ulasan:

Catat Ulasan