Pengikut

Isnin, 26 Disember 2011

Khir Toyo, isteri masih tersenyum selepas dihukum penjara - Zuraida

Meskipun dijatuhi hukuman penjara setahun kerana rasuah, namun Dr Khir Toyo dan isterinya masih mampu tersenyum ketika keputusan itu dibacakan Mahkamah Tinggi Shah Alam, Jumaat lalu.

Perkara itu membuktikan kes itu hanya sekadar wayang pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjelang Pilihan Raya Umum ke 13, kata Timbalan Majlis Pimpinan KEADILAN Selangor, Zuraida Kamaruddin.

“Ini hanyalah wayang pentadbiran Najib menjelang PRU dan Khir Toyo terpaksa menjadi pilihan beliau untuk dimangsakan kerana skandal ini sukar dibendung.

“Namun kita juga berharap kes rasuah lain turut disiasat segera termasuklah skandal NFC,” katanya kepada Keadilandaily.com hari ini.

Menurutnya, gelagat isteri Khir Toyo yang kelihatan tidak terkesan dengan keputusan itu, seolah menunjukkan beliau yakin suaminya itu akan dibebaskan diperingkat perbicaraan di mahkamah rayuan.

“Sudah tentu ini menimbulkan persoalan dan mungkin beliau menjangkakan suaminya akan dibebaskan pada penghujung kes ini.

“Apapun, kita tunggu perkembangan kes ini selepas ia dibawa ke mahkamah rayuan,” kata Ahli Parlimen Ampang itu.

Pada 23 Disember lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam mendapati bekas Pengerusi Perhubungan Umno Selangor itu bersalah atas tuduhan rasuah dan dijatuhkan hukuman penjara 12 bulan penjara.

Beliau didakwa mengikut seksyen 165 Kanun Keseksaan iaitu tuduhan rasuah yang lebih ringan, berbanding dengan tuduhan di bawah Akta Pencegahan Rasuah dan Akta baru Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman lebih berat.

Khir juga berdepan hilang kelayakannya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan tidak boleh bertanding pada PRU akan datang.

Khir, 46, dituduh mendapatkan untuk diri dan isterinya, Zahrah Kechik, 46, dua lot tanah dan sebuah rumah di No 8&10, Jalan Suasa 7/1L, daripada Ditamas Sdn Bhd (Ditamas) melalui pengarahnya, Shamsuddin Hayroni.

Hartanah di Seksyen 7 di Shah Alam itu diperoleh dengan harga RM3.5 juta, sedangkan ia dibeli oleh Ditamas pada 23 Disember 2004 pada harga RM6.5 juta. -KeadilanDaily

Tiada ulasan:

Catat Ulasan