Pengikut

Selasa, 1 November 2011

Umno dalangi demo Mat Rempit!

Pemimpin Pakatan Rakyat Pulau Pinang terus mendakwa demonstrasi kira-kira 200 penunggang motosikal di negeri itu semalam didalangi parti pembangkang negeri itu namun tidak dinyatakan secara khusus pihak yang terlibat.

Semalam Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng mendakwa Barisan Nasional (BN) terlibat dengan demonstrasi membantah pentadbiran kerajaan negeri Pakatan Rakyat itu namun dinafikan wakil rakyatnya.

Pada sidang media pagi tadi Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang Datuk Mansor Othman berkata demonstrasi itu seolah-olah “dirancang” parti pembangkang dengan menggunakan penunggang motosikal atau “mat rempit” sehingga menyebabkan kesesakan di negeri itu.

“Pelik juga sebab yang pertama kita nampak ia terlalu tersusun dan kita dimaklumkan pemuda dari Balik Pulau dan pelajar kolej pengajian dan bukan mat rempit betul yang terlibat dalam kes ini.

“Yang kedua adalah tuntutan untuk litar lumba motor, kalau nak litar lumba mereka tak perlu buat demonstrasi macam ini dan yang lebih penting lagi sebab yang dimohon bukan litar lumba motor tapi turut dilambangkan di baju yang mereka pakai sebab itu saya kata ia dirancang,” katanya.

Jelas beliau, persoalan lain turut timbul berhubung tuntutan itu kerana baju T yang dipakai peserta demonstrasi turut tertera perkataan “Lim Guan Eng Rasis.”

“Ada lambang LGE (Lim Guan Eng) rasis, kalau nak mohon tempat lumba motor tak perlu kaitkan dengan rasis, racing (lumba) dan rasis lain...ejaan lain, maknanya pun lain,” katanya.

Tambah Mansor, tindakan penunggang motosikal itu sangat berbahaya dan boleh mengundang kebencian dan kemarahan rakyat terutamanya orang bukan Melayu.

“Dalam ini yang lebih penting, ini menunjukkan ketidakmatangan politik dan jika ia melibatkan pembangkan di Pulau Pinang ia adalah ketidakwarasan dan ketidakwajaran pembangkang gunakan isu rasis dan ini cukup membahayakan.

“Ini politik yang cukup bahaya, kalau mainkan isu rasis jika libatkan pembangkang ia akan timbulkan kebencian dan kemarahan orang bukan Melayu,” katanya.

Sementara itu exco kerajaan negeri Abdul Malik Kassim berkata keberanian penunggang motosikal mengadakan demonstrasi ini menunjukkan mereka disokong parti pembangkang.

“Yang sangat membimbangkan kerana bagi pengetahuan kita pihak remaja, belia dan golongan mat rempit mana ada dirancang...mereka bukan ada persatuan tapi kali ini dirancang.

“Ini menunjukkan orang dibelakang adalah parti-parti pembangkang yang cuba memporakperandakan Pulau Pinang,” katanya.

Semalam polis menahan lima individu kerana menyertai demonstrasi di Pulau Pinang bagi membantah pentadbiran kerajaan negeri pimpinan Lim.

Seramai 200 penunggang motosikal memulakan demonstrasi dengan melalui Jalan Penang sebelum ke Komtar dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Mereka juga memasang kain rentang yang meminta pembinaan litar lumba untuk anak muda berlumba motorsikal serta memakai baju T yang tertulis “Selamatkan Pulau Pinang, LGE Rasis.” -TMI

p/s: Kenapa Polis tak ambil tindakkan sedang mereka berarak dari depan balai Polis sehingga ke Komtar, Cuba kalau himpunan ini dianjurkan oleh pihak lain mesti polis dah tahan peserta!!

Umno nafi demo didalangi mereka?

GEORGE TOWN: Wakil rakyat Barisan Nasional (BN) di Pulau Pinang kesal dengan dakwaan Ketua Menteri Lim Guan Eng kononnya Umno terbabit dengan tindakan sekumpulan penunggang motosikal yang membuat perarakan membantah kepimpinannya semalam.

Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya (BN-Teluk Bahang) berkata dakwaan oleh Lim itu adalah ibarat “cakap ikut suka hati” kerana Ketua Menteri tidak mempunyai sebarang bukti.

Katanya Lim telah membuat tuduhan kononnya Umno terlibat dalam perarakan itu sedangkan ianya dianjurkan oleh sebuah NGO dikenali sebagai Pertiga (Pertubuhan Islam Gabungan Amal).

Beliau berkata demikian sebagai menjawab celahan Lim ketika Salleh Man (PAS-Permatang Pasir) sedang membahas usul Rang Undang-undang Enakmen Perbekalan 2012 pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Semalam, polis menahan lima individu kerana menyertai perarakan di sekitar bandar raya ini, bagi membantah pentadbiran kerajaan negeri pimpinan Lim.

‘LGE rasis’

Seramai 200 penunggang motosikal itu memulakan protes pada 12.00 tengah malam dengan melalui Jalan Penang sebelum ke Komtar dan Dewan Undangan Negeri.

Mereka juga memasang kain rentang yang meminta pembinaan litar lumba untuk anak muda berlumba motosikal serta memakai kemeja T kuning bertuliskan ayat “Selamatkan Pulau Pinang, LGE Rasis”.

Lim berkata beliau kini “mula gentar apabila golongan mat rempit” juga menentang kerajaan negeri dan menyifatkan perbuatan mereka itu didalangi oleh Umno kerana terdapat perkataan “LGE Rasis”.

Datuk Ariff Shah Omar Shah (BN-Seberang Jaya) pula berkata Lim tidak perlu khuatir dan bersangka buruk terhadap golongan anak- anak muda itu sebaliknya harus berusaha mendekati dan memenuhi permintaan mereka.

“Mereka hanya meminta disediakan trek lumba, jadi kerajaan negeri haruslah berusaha supaya mereka berpeluang menjadi pelumba profesional,” katanya.

‘YB Full time’

Sementara itu, seorang aktivitis sosial yang kecewa dengan Lim, bertindak berdiri dengan memegang kain rentang di depan bangunan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Tindakan Hii Tiong Huat, 60, yang berdiri dengan memegang kain rentang bertulis ‘Tolak YB terima dua gaji Adun dan MP; YB perlu full time’ menarik perhatian orang ramai yang melalui kawasan berkenaan.

Hii menggesa Lim dan beberapa Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) yang juga menjadi Anggota Parlimen agar menumpukan tugas mereka sebagai Adun dan tidak tamak dengan memegang jawatan berganda.

“Jangan tamak pegang sampai dua atau tiga jawatan dan pada masa sama menikmati faedah serta gaji yang banyak sedangkan gagal berkhidmat dengan berkesan,” katanya kepada pemberita.

Hii yang berasal dari Sarawak, berkata Lim tidak seharusnya memegang terlalu banyak portfolio dalam kerajaan negeri kerana ia menjejaskan jentera pentadbiran kerajaan.

- Bernama



Tiada ulasan:

Catat Ulasan