Pakatan Rakyat mendesak kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak menarik balik Rang Undang-undang Perhimpunan Aman yang dibentang baru-baru ini.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, rang undang-undang baru itu jelas menyekat kebebasan rakyat menyuarakan pendapat yang merupakan asas demokrasi.
“Rang undang-undang ini juga jelas bercanggah dengan kenyataan asal Datuk Najib yang kononnya mahu menjadikan Malaysia sebagai negara demokrasi terbaik di dunia.
“Ucapan beliau pada sambutan Hari Malaysia amat lunak, namun tindakannya cukup menekan,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Rakyat dipejabatnya di Parlimen hari ini.
Turut serta dalam sidang media itu pimpinan tertinggi Pas, KEADILAN dan DAP yang lain.
Najib pada 16 September lalu berjanji Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) akan dimansuhkan sepenuhnya dan berikrar akan menjadikan Malaysia negara demokrasi lebih baik.
Namun baru-baru ini kerajaan menahan 13 individu di bawah akta itu dan memperkenal kan Rang Undang-undang yang meletakkan syarat lebih ketat terhadap penganjuran perhimpunan aman.
Sementara itu, Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub menyifatkan undang-undang baru itu tidak praktikal kerana penganjur perhimpunan perlu memohon 30 hari lebih awal untuk berhimpun.
“Bagaimana jika Israel misalnya menyerang Iran secara mengejut dan kita mahu adakan himpunan, tidakkah undang-undang ini sangat tidak praktikal,” soalnya.
Oleh itu, katanya, Pakatan Rakyat akan menghantar memorandum kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) esok jam 1.30 petang bagi membantah rang undang-undang baru itu.
Sementara itu, kumpulan peguam hak asasi, Pertubuhan Lawyers For Liberty (LFL) turut menuntut Kerajaan agar menarik balik Undang-Undang berkenaan yang memberi kuasa yang sangat besar kepada polis.
Dalam satu kenyataan semalam, LFL menanggap RUU tersebut tidak menghormati jaminan hak berhimpun yang termaktub dalam perlembagaan, malah lebih menekan berbanding akta polis sedia ada.
“LFL mengutuk pembentangan RUU yang dibuat di Dewan Rakyat dan ia jelas kelihatan sebagai suatu penghinaan kepada jaminan perlembagaan hak untuk berhimpun secara aman yang termaktub dalam Perkara 10 (1) (b) Perlembagaan Persekutuan”
“Rang Undang-Undang itu pada asasnya mengurangkan hak untuk berhimpun secara aman kerana ia mengenakan sekatan yang tidak munasabah dan syarat-syarat yang boleh menyebabkan hak untuk berhimpun secara aman yang tidak mampu dicapai,” katanya. -KeadilanDaily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan