Pengikut

Jumaat, 11 November 2011

‘Kondo lembu’ untuk pelaburan - Khairy

Ketua Pemuda Umno membuat kenyataan kurang bijak apabila berkata kondominium yang dibeli oleh syarikat milik keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil- yang terlibat dalam projek penternakan lembu- adalah untuk tujuan pelaburan.

Ketua Wanita KEADILAN, Zuraida Kamaruddin berkata demikian mengulas kenyataan Khairy Jamaluddin hari ini.

Menganggap ia sebagai mengarut, Zuraida mempersoalkan apakah kaitan pembelian kondominum berkenaan dengan industri penternakan lembu yang dijalankan Pusat Fidlot Kebangsaan.

“Jelas dia (Khairy) seorang yang kurang bijak kerana (kenyataan) langsung tidak menggambarkan dia adalah seorang (graduan) Oxford,”

“Ini bukan isu pelaburan (membeli kondo) tetapi ini soal isu amanah dan kebertangungjawaban,” kata Zuraida kepada Keadilan Daily.

Khairy dalam tulisan di blognya hari ini berkata, pembelian kondominium oleh syarikat National Meat And Livestock Corporation (NMLC) yang dimiliki keluarga Shahrizat adalah untuk tujuan pelaburan.

Beliau juga mengakui unit kondominium mewah di Bangsar dengan bayaran sebanyak RM9.8 juta itu dibuat supaya NLMC mendapat pulangan pelaburan memandangkan projek lembu fidlot oleh National Feedlot Corporation (NFC) mengalami kelewatan operasi.

Isu penyelewengan NFC itu sebelum ini didedahkan KEADILAN apabila kerajaan memperuntukkan dana sebanyak RM250 juta, namun projek itu gagal mencapai sasaran.

Semalam, KEADILAN mendedahkan NFC membeli kondominium mewah berharga RM9.8 juta di Bangsar dari dana tersebut.

Bayaran untuk pembelian kondominium itu direkodkan sebagai ‘hutang’ NMLC kepada NFC pada Disember 2009. -RM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan