Beliau memfailkan saman itu di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil di sini, hari ini melalui Tetuan Jahaberdeen & Co.
Peguam Jahaberdeen Mohamed Yunoos, yang mewakili Zainal Abidin, 51, memberitahu pemberita bahawa saman itu difailkan atas kapasiti peribadi pemimpin UMNO Pulau Pinang itu.
Dalam pernyataan tuntutan itu, Zainal Abidin mendakwa pada 3 Julai lalu, Lim menerbitkan satu kenyataan akhbar melalui emel yang kemudiannya disiarkan di Keadilan Daily pada 3 Julai dan di akhbar Suara Keadilan pada 5 Julai lalu.
Zainal Abidin berkata, kenyataan Lim itu antara lain membawa maksud kononnya beliau terbabit dalam kegiatan mengguling Ketua Menteri Pulau Pinang melalui cara yang salah serta menyembunyikan pembabitannya dalam satu demonstrasi ganas yang berlaku di KOMTAR dan Jambatan Pulau Pinang pada 1 Julai lalu.
Beliau berkata, pada 18 Ogos lalu, Lim mengeluarkan satu lagi kenyataan menyinggung di hadapan sekumpulan wartawan yang disiarkan di laman berita elektronik, The Malaysian Insider, pada hari yang sama.
Zainal Abidin berkata, antara lain kenyataan itu membawa maksud kononnya beliau merancang untuk mensabotaj premis parti DAP di Pulau Pinang, dan kononnya beliau terbabit dalam mencetuskan cubaan membakar premis itu.
Beliau berkata, akibat kenyataan itu, ia merosakkan reputasinya dan menjejaskan kepercayaan parti induk terhadapnya.
Zainal Abidin menuntut ganti rugi RM30 juta, faedah, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah dan satu injunksi bagi menghalang kesemua defendan daripada terus mengeluarkan atau menyiarkan kenyataan fitnah itu. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan