Pengikut

Khamis, 15 September 2011

P Pinang sokong tubuh peronda sukarela

Pulau Pinang telah mencatat penurunan kadar jenayah yang paling besar di Malaysia - sebanyak 27 peratus tahun lalu dan penurunan 25 peratus untuk tempoh enam bulan pertama tahun ini, kata Ketua Menteri, Lim Guan Eng.

"Antara faktor penurunan kadar indeks jenayah adalah kerjasama dan sumbangan gigih Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), khususnya Ketua Polis Negeri, Datuk Wira Ayub Yaakob, pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi yang kerap mengalami jenayah dan juga kepolisan masyarakat.

"Kepolisan masyarakat adalah satu syarat penting untuk menjaga keselamatan awam. Demi memastikan kadar jenayah boleh terus menurun, maka kerajaan negeri Pakatan Rakyat (PR) Pulau Pinang akan menyokong penubuhan Pasukan Peronda Sukarela (PPS) untuk membantu pihak polis menjalankan rondaan," kata Lim dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, sokongan PPS dengan pihak polis diharap dapat mengekalkan kententeraman awam dan menjadikan Pulau Pinang negeri paling selamat di Malaysia yang sedikit sebanyak akan membolehkan Pulau Pinang terus menjadi pilihan utama pelabur dan pelancong.

"Antara objektif penubuhan PPS ini adalah untuk membantu pihak berkuasa Keselamatan dalam menangani kegiatan atau aktiviti sosial yang negatif di sesuatu kawasan termasuk membersihkan kawasan daripada anasir dadah," katanya.

Selain itu, tegas Lim, penubuhan PPS juga sedikit sebanyak dapat membantu PDRM mencegah dan membanteras jenayah, dengan bertindak sebagai pembekal maklumat, di samping menjalin hubungan kerjasama kejiranan yang erat di kalangan anggota masyarakat tempatan.

"Sehingga 14 September 2011, terdapat 40 pasukan dengan 840 ahli. PPS ditubuhkan sebagai langkah untuk memastikan kebajikan dan keselamatan masyarakat dan rakyat negeri Pulau Pinang tidak dipinggirkan," katanya. -Malaysiakini

Tiada ulasan:

Catat Ulasan