Pengikut

Isnin, 19 September 2011

Anwar takkan layan klip baru mainan blog pro-Umno

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mahu melayan pendedahan klip video berwarna oleh sebuah blog yang didakwa membabitkan dirinya, kelmarin.

Anwar berkata blog tersebut menjadi alat parti politik kerajaan untuk menenggelamkan isu-isu penting yang dibangkitkan oleh Pakatan Rakyat.

Malah kata Anwar, tindakan terbaru itu adalah usaha blogger terbabit untuk mengaitkannya dengan tuduhan terlibat dalam aktiviti tidak bermoral seperti yang pernah didakwa sebelum ini.

“Saya tidak mahu layan lagi. Buat apa kita layan blog yang diperalatkan Umno.

“Perkara ini sengaja dibangkitkan untuk tutup perkara penting yang kita suarakan seperti ekonomi, kezaliman dan rasuah,” katanya dipetik Sinar Harian selepas menghadiri majlis rumah terbuka Aidilfitri di Alor Setar semalam.

Dalam pada itu, Angkatan Muda PKR pula membuat laporan polis terhadap penulis blog papagomo kerana menyiarkan sedutan klip video itu.

Timbalan Ketua Penerangannya Rozan Azen Mat Rasip berkata, laporan itu dibuat di ibu pejabat polis daerah Dang Wangi semalam.

Rozan dipetik TV Selangor berkata, pihaknya juga mendesak Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar agar tampil membuat satu kenyataan rasmi bahawa Polis Diraja Malaysia tidak terlibat dalam menyiarkan satu lagi sedutan klip video itu yang jelas merupakan tindakan terdesak Umno-BN terus-terusan untuk menghancurkan karier politik ketua pembangkang itu.

“Kami ingin seberapa segera Ketua Polis Negara mengeluarkan kenyataan bahawa beliau tidak tahu menahu tentang dari mana blog papagomo mendapat rakaman ini, sebab itu kami tampil membuat laporan, agar kes ini disiasat segera kerana ia mengancam ketua pembangkang Malaysia,” katanya.

Semalam, Naib Presiden PKR N Surendran menyifatkan tindakan menyiarkan sedutan klip itu sebagai perbuatan terdesak Umno-BN berterusan dan terancang dengan bantuan pihak berkuasa.

Surendran berkata, pihaknya yakin tindakan sedemikian akan dipertingkatkan ketika pilihan raya umum ke-13 disebut-sebut akan diadakan dalam waktu terdekat.

Sambil menegaskan orang ramai sudah bosan dengan perbuatan sedemikian, peguam ini menambah, beliau yakin Umno-BN akan meneruskan serangan sedemikian selepas ini.

Selepas mendedahkan klip rakaman video seks, didakwa pelakunya Anwar awal tahun ini, semalam blog pro-Umno menyiarkan sedutan klip menunjukkan Ketua Pembangkang itu memasuki lif premis lokasi kejadian.

Sedutan itu menunjukkan Anwar memasuki lif sebuah apartmen dengan diiringi ahli perniagaan Datuk Shahzryl Eskay Abdullah, dirakamkan melalui kamera litar tertutup (CCTV).

Ia menunjukkan Anwar memakai baju ungu dan berselipar manakala Shahzryl Eskay sut berwarna hitam.

Dua sedutan klip dimuatkan iaitu masing-masing satu ketika masuk ke dalam lif dengan Anwar di depan dan satu lagi ketika keluar dari lif. Ketika keluar lif, Shahzryl Eskay berada di depan.

Butiran pada sedutan itu menunjukkan mereka masuk ke dalam lif pada pukul 10.09 malam dan keluar pada pukul 10.52 malam, 21 Februari lalu.

Tarikh itu sama dengan tarikh kejadian hubungan seks dengan pelacur dari China didakwa diadakan, yang didedahkan oleh “Datuk T” pada 21 Mac lalu.

Sedutan ini berwarna manakala klip rakaman yang didedahkan pada 21 Mac lalu pula berwarna hitam. Sedutan klip rakaman hitam putih telah pun didedahkan kepada umum melalui blog-blog Umno sebelum ini.

Kata blog papagomo, “rakaman yang mana dirakam oleh CCTV dengan warna jelas dan muka Anwar juga jelas kelihatan. Waktu rakaman juga selari dengan apa yang dilakukan oleh Dato Seri Anwar bersama pelacur China tersebut.”

Blog itu juga mendakwa waktu yang dicatatkan pada video seks tersebut seiring dengan rakaman CCTV yang menunjukkan Anwar masuk ke dalam lif dan kemudian keluar.

“Malah sebelum ini juga kita semua telah didedahkan dengan kehilangan Datu Seri Anwar Ibrahim dalam Twitter dan Facebook waktu hubungan seks tersebut berjalan,” kata blog tersebut.

Anwar sebelum ini telah menafikan ‘kehilangan’ yang dimaksudkan dan beliau juga bukan lelaki yang didakwa dalam video itu.

Beliau membuat laporan polis pada 22 Mac lalu iaitu sehari selepas Shahzryl Eskay mendedahkan klip rakaman itu.

Shahzryl dan bekas ketua menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan bekas bendahari agung Perkasa Datuk Shuib Lazim — mengelar diri mereka “Datuk T’mengaku bertanggungjawab atas tindakan mendedahkan klip itu kepada wakil media terpilih pada 21 Mac lalu di Carcosa Seri Negara.

Pada 24 Jun, trio “Datuk T” itu mengaku bersalah menayangkan rakaman video seks Mac lalu dan dikenakan denda total RM5,500. -TMI

Tiada ulasan:

Catat Ulasan