UMNO mohon maaf kepada Koh Tsu Koon?
Sementara itu, Ketua Bahagian UMNO Bukit Mertajam Musa Sheikh Fadzir yang sering menyerang Koh Tsu Koon sebelum ini, dikatakan telah berjanji kepada Koh Tsu Koon bahawa dirinya tidak akan menyerang Gerakan lagi. Malah, UMNO Pulau Pinang berjanji agar jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang disandang pemimpin Gerakan, seandainya Barisan Nasional menang di Pulau Pinang dalam Pilihan Raya Umum yang akan datang.
Perselisihan berlaku antara UMNO dengan Gerakan dalam beberapa tahun kebelakangan ini, antaranya Pemuda UMNO mengambil kesempatan untuk menyatakan ketidakpuasan terhadap Koh (yang pada ketika itu masih Ketua Menteri), dalam satu acara yang turut dihadiri Abdullah Ahmad Badawi (Perdana Menteri ketika itu) pada tahun 2006. Pada September 2008, seorang penyokong bekas Ketua UMNO Bahagian Bukit Bendera Ahmad Ismail mengoyakkan gambar Koh di khalayak ramai, sehingga Koh dipersendakan musuh politiknya. Rata-rata masyarakat Cina menganggap Koh Tsu Koon terlalu "lembik", sehingga mudah "dibuli" pemimpin UMNO.
Koh ugut keluar dari BN?
Seorang pemimpin Gerakan yang memihak kepada Koh, memberitahu Kwong Wah Yit Poh bahawa Koh Tsu Koon amat tegas dalam isu Ahmad Ismail, malah mengugut untuk memanggil Mesyuarat Agong Luar Biasa (EGM) Gerakan agar keluar dari Barisan Nasional, seandainya pimpinan tertinggi UMNO tidak membekukan keahlian Ahmad Ismail.


Laporan Kwong Wah Yit Poh juga memetik Penyelaras BN DUN Padang Kota, Oh Tong Keong yang mengakui bahawa dirinya pernah mendengar khabar bahawa pemimpin UMNO memohon maaf kepada Koh Tsu Koon, dan berjanji untuk menyokong pemimpin Gerakan untuk menjawat Ketua Menteri Pulau Pinang.
*Kaleidoskop adalah "digest" kandungan media cetak. Akhbar yang dirujuk adalah Kwong Wah Jit Poh pada 11 September 2011, muka surat A6. Laporan dibuat berdasarkan teks asalnya dalam bahasa Cina./MR
Tiada ulasan:
Catat Ulasan