Wong Ching Huat berkata, pertambahan kerusi dari 75 yang sedia dikuasai oleh pembangkang sekarang ekoran dari impak berantai selepas perhimpunan aman rakyat anjuran Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (Bersih 2.0) yang dirancang di ibunegara pada 9 Julai lepas.
Perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai lalu mungkin melonjakkan pungutan kerusi bagi Pakatan Rakyat daripada 75 sekarang kepada 100 pada pilihan raya umum akan datang, kata penganalisis politik Wong Ching Huat.
Pada seminarnya di Universiti Monash, Sunway hari ini, Wong yang juga ahli jawatankuasa pemandu BERSIH 2.0 berkata peralihan sokongan itu adalah kerana reaksi rakyat terhadap tindakan kerajaan BN yang mengubah sentimen mereka di sejumlah 55 kerusi marginal yang dimenangi kedua-dua pihak.
"BERSIH telah meningkatkan peluang Pakatan di 20 kerusi yang dimenang tipis oleh BN dan memperkuatkan kedudukan Pakatan di 33 kerusi (marginal) milikinya sebelum ini,” katanya.
Wong berkata jumlah berkenaan adalah hasil rumusannya berdasarkan demografik pengundi dan corak pengundian pada pilihan raya umum 2008 dan juga beberapa pilihan raya kecil yang lalu.
Beliau juga menjangkakan corak yang sama akan berlaku di kerusi-kerusi milik calon Bebas seperti di Wangsa Maju, Nibong Tebal dan Bayan Baru yang terletak di kawasan bandar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.
Berdasarkan perkiraannya juga, beliau menjangkakan Datuk Ibrahim Ali akan hilang kersi parlimennya di Pasir Mas di Kelantan.
Selain itu, Wong juga menjangkakan PSM akan mengekalkan kerusinya di Sungai Siput, yang dimenangi dengan majoriti kecil berikutan penahanan ahli parlimennya Dr D Jeyakumar yang ditangkap mengikut Ordinan Darurat."Secara demografik ia adalah kerusi yang bahaya (untuk Jeyakumar) tetapi penahanan itu telah memberi manfaat kepada Jeyakumar, terutamanya undi simpati. Beliau akan terus mendapat undi masyarakat India dan menang dengan lebih selesa,” katanya kepada Malaysiakini selepas seminar itu.
Katanya dua kerusi milik SAPP lebih sukar diramalkan.
Wong juga berkata Pakatan dijangka akan mengekalkan secara marginal kersi di Sibu, Kuantan dan Indera Mahkota, tetapi bukan kerana BERSIH 2.0 tetapi isu lain seperti kilang pemprosesan bumi nadir Lynas, khususnya di Pahang. -Malaysiakini
Tiada ulasan:
Catat Ulasan